KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff agar segera sembuh selepas terlibat dalam kemalangan petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berharap Siti Zailah diberi kekuatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah lekas diberi kesembuhan.
“Berharap YB tabah dan segera dikembalikan kekuatan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam hantaran itu.
Siti Zailah cedera di dada dan perut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama, Kechau Tui, Kuala Lipis, Pahang.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, beliau bersama anak perempuannya berusia 26 tahun menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sedang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
-- BERNAMA