KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan anggota Kabinet meneliti perubahan dasar utama bagi memperkukuh daya tahan negara, khususnya dalam sektor perindustrian dan ekonomi.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia mampu terus melangkah maju sebagai sebuah negara yang hebat berdasarkan sumber, modal insan, disiplin dan daya tahan yang dimiliki.
"Pagi tadi, saya telah menekankan keperluan anggota Kabinet untuk meneliti perubahan dasar utama yang diperlukan bagi memperkukuh bukan sahaja daya tahan domestik, tetapi juga daya tahan negara dalam sektor perindustrian dan ekonomi.
"Sebagai rumusan, saya ingin menekankan bahawa negara ini memiliki segala sumber, modal insan, disiplin dan daya tahan yang diperlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di ibu negara pada Jumaat.
Menurutnya, usaha yang dilaksanakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pemain industri turut memperlihatkan pertumbuhan sektor perindustrian yang luar biasa, khususnya dalam bidang baharu termasuk elektrik dan elektronik (E&E).
"Saya kekal optimis bahawa Malaysia mampu terus melangkah maju sebagai sebuah negara hebat sekiranya kita meneruskan usaha seperti yang ditunjukkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), termasuk melalui kerjasama dengan pemain industri.
"Kita dapat melihat bagaimana sebuah negara sebesar Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan perindustrian yang begitu luar biasa, khususnya dalam bidang baharu seperti elektrik dan elektronik (E&E)," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia juga menunjukkan perkembangan dalam peralihan industri daripada aktiviti bahagian belakang (back-end) kepada bahagian hadapan (front-end), termasuk fabrikasi cip (fab) dan bidang baharu lain.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kekangan dan ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor perindustrian negara terus mencapai kecemerlangan.
"Bagi saya, meskipun berdepan pelbagai kekangan, kita sedang beralih daripada aktiviti bahagian belakang (back-end) kepada bahagian hadapan (front-end), termasuk fabrikasi cip (fab) serta bidang baharu lain yang perlu kita terokai, walaupun terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi.
"Saya harus katakan bahawa kita berada di landasan yang tepat, selagi kita mempunyai kerendahan hati untuk mengakui bahawa masih terdapat ruang untuk kita melakukan penambahbaikan dan mencapai kecemerlangan," jelasnya.