Insiden yang menimpa peniaga dikenali sebagai Alif itu tular di aplikasi TikTok memaparkan khemah jualannya musnah dalam kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 5 petang meskipun cuaca ketika itu hujan.
Menerusi video berdurasi 31 saat, memaparkan individu tersebut sedang merakam video di gerai jualan itu namun, secara tiba-tiba berlaku percikan api dari kuali memasak menyebabkan dia terkejut.
Biarpun dalam keadaan panik memandangkan getah saluran masih bersambung dengan tong gas namun dia sempat menyelamat diri sebelum menunjukkan khemah jualannya musnah dalam kejadian berkenaan.

Peniaga itu yang memuat naik video berkenaan di TikTok menerusi nama Adicto Churros Melaka, reda dengan ujian yang menimpanya ketika mencari rezeki pada bulan Ramadan.
"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku dan mungkin bukan rezeki kami hari ini (Rabu).
"Mungkin ini adalah qada dan qadar ALLAH, kami terima dengan reda," tulisnya. - Sinar Harian
