SUNGAI PETANI: "Kami janji nak sampai ke garisan penamat sama-sama tetapi, tak sangka dia 'pergi' dahulu."

Demikian luahan Putra Hafiz Zaidi, 16, rakan kepada Muhammad Haziq Uzayr Hairudin, 16, yang meninggal dunia selepas menyertai acara merentas desa di sebuah sekolah di sini semalam.

Putra bagaimanapun tidak menyangka janji yang dibuat pada pagi hari kejadian adalah pertemuan terakhir sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja selesai aktiviti berkenaan.

Menceritakan kembali kenangan itu, kedua-dua mereka telah berjanji untuk sampai ke garisan penamat lebih awal kerana menyasarkan untuk mendapatkan pingat pada acara tersebut.

"Masa awal acara tu kami janji kena sampai awal sebab nak dapat pingat... lepas itu tak bertembung dah, namun saya tahu dia lebih laju dan berada di hadapan.

"Bila sampai ke garisan penamat, terkejut nampak dia dah rebah, ketika itu guru minta buka ruang untuk beri rawatan kecemasan dan saya sedih tak dapat membantunya sehinggalah dapat tahu dia 'pergi' dulu," katanya.

Lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, guru dan rakan arwah turut hadir mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan dan selesai kira-kira jam 11 malam tadi. - Foto Sinar Harian

Menurutnya, Muhammad Haziq kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani namun disahkan meninggal dunia.

Menceritakan kenangan bersama arwah, dia dan kawan lain menyedari perubahan sikap arwah yang lebih pendiam berbanding kebiasaan seorang yang suka berseloroh, semasa berjumpa sehari sebelum kejadian.

"Arwah rakan yang baik, kami minum bersama lebih kurang jam 8 malam (Rabu) dengan kawan-kawan lain di sebuah gerai dalam kawasan perumahan ni, nampaklah Muhammad Haziq macam diam dan banyak termenung tetapi kami ingat perkara biasa,"katanya.

Seorang lagi rakan arwah, Saifudin Norman, 17, terkejut selepas mendengar berita kematian mangsa memandangkan baru sahaja keluar memancing bersama pada petang Rabu.

"Semalam (Rabu) lepas sekolah kami keluar memancing bersama tak perasan ada perubahan apa, saya terkejut tiba-tiba dengar berita hari ini dah meninggal sebab dia dah janji nak temankan saya hantar enjin motosikal ke kampung dekat Pinang Tunggal, Pulau Pinang tetapi tak kesampaian.

"Dia pesan juga, apa-apa 'call' dulu risau terlelap sebab keletihan memandangkan sebelah pagi sertai acara merentas desa tu," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Haakimi, 22, berkata, kali terakhir bertemu anak ketiga dari empat beradik itu sehari sebelum kejadian, namun tidak langsung menyedari sebarang perubahan sehinggalah dimaklumkan kejadian yang menimpa mangsa di sekolah semalam.

"Adik tiada sakit apa, kami keluarga agak terkejutlah bila dapat tahu tiba-tiba jatuh dan meninggal dunia,"katanya.

Jelasnya, proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Sallehuddin Bandar Puteri Jaya di sini.

Lebih 300 orang termasuk rakan arwah turut hadir mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan dan selesai kira-kira jam 11 malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar sekolah menengah dilaporkan meninggal dunia selepas selesai menyertai acara merentas desa.

Mangsa dikatakan telah berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, acara itu disertai mangsa di sekolah bersama pelajar lain. - Sinar Harian