LANGKAWI: Kompleks Kraf Langkawi yang menghimpunkan pelbagai produk kraf tempatan termasuk produk kraf ikonik Langkawi bersiap sedia untuk menerima kunjungan delegasi ASEAN sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM).

Pengarahnya, Farina Darus berkata, pihaknya telah melakukan persiapan termasuk menyediakan aktiviti tertentu untuk disertai oleh pasangan delegasi ASEAN yang dijadual berkunjung ke kompleks berkenaan esok.

"Kraftangan Malaysia berasa bangga apabila Kompleks Kraf Langkawi dipilih sebagai destinasi kunjungan oleh pasangan delegasi ASEAN sempena AMM.

"Semasa lawatan oleh pasangan delegasi ASEAN, mereka akan dibawa ke tempat-tempat demonstrasi kraf seperti pembuatan kraf wau dan kita akan tunjukkan juga pembuatan batik dan ukiran kayu.

"Mereka juga berkesempatan untuk mewarna batik bertemakan ASEAN dan akan dibawa ke pameran kraftangan Malaysia di mana kita ada produk-produk seperti dari Kedah yang menonjolkan bunga padi dan juga dari Perlis kita ada bunga bunga harumanis," katanya di sini hari ini.

Pasangan delegasi ASEAN juga berpeluang membeli-belah pelbagai produk kraf dari seluruh Malaysia yang ditempatkan di bawah satu bumbung di kompleks itu, katanya.

Farina berkata, kunjungan terbabit bakal menjadi platform untuk menonjolkan produk kraf Malaysia seterusnya membantu melonjakkan kedatangan pelancong ke negara ini.

Permukiman AMM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, merupakan mesyuarat peringkat menteri pertama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025.

Lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, bersama negara pemerhati Timor-Leste menghadiri permukiman itu. - BERNAMA