KOTA KINABALU: Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah dan Sarawak perlu diperkukuh untuk memastikan keamanan dan kedaulatan negara terus terjamin, kata Panglima ATM, Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Beliau berkata, keutuhan dan keamanan wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak adalah antara faktor yang paling penting seperti terkandung dalam dasar negara.

"Kalau kita tengok juga Kertas Putih Pertahanan, di sinilah letaknya ... ini lawatan sulung saya ke Sabah untuk melihat kawasan yang paling jauh ... yang paling penting yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar, di sini, pada Rabu.

Mohd Nizam berkata, berdasarkan taklimat kesiagaan yang telah disampaikan, ketiga-tiga perkhidmatan ATM berada pada tahap pengawasan dan kesiagaan aset serta peralatan yang baik.

"Pihak ATM akan sentiasa menentukan aspek sumber manusia dan peralatan meliputi ketiga-tiga perkhidmatan terus kekal berada pada tahap tertinggi dalam usaha memastikan kedaulatan persempadanan negara dan zon maritim Malaysia sentiasa selamat dan terjamin daripada sebarang ancaman.

"Pelaksanaan operasi secara berterusan oleh ATM di lokasi strategik di sekitar Sabah juga dilihat memberi impak positif terhadap tahap keselamatan dan peningkatan keyakinan masyarakat setempat," katanya.

Mohd Nizam berkata, penempatan anggota ATM dan peralatan menghadapi banjir di Sabah juga merupakan antara usaha murni ATM membantu pihak berkuasa awam dalam pengurusan bencana di Sabah.

Beliau berkata, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Bencana Negeri Siri 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih khususnya kepada ATM.

"Penghargaan ini merupakan satu pengiktirafan kepada ATM yang banyak menyalurkan bantuan semasa bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Sabah akibat luruan monsun pada Januari lepas. ATM akan kekal komited untuk terus menjamin kemaslahatan masyarakat di negeri ini," katanya. - BERNAMA