KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa orang ramai menyertai Armed Forces Run 2026 yang akan berlangsung pada 20 Dis ini di Dataran Wawasan, Putrajaya sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-93.
ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, acara yang melibatkan tiga kategori larian, iaitu Armed Forces Fun Run 3 kilometer (km), Armed Forces Run 10 km dan Armed Forces Half Marathon 21 km, terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pendaftaran dibuka hingga 30 Nov ini dan maklumat lanjut serta pendaftaran boleh diperoleh melalui pautan https://checkpointspot.asia/event/armed-forces-run-2026.
"Penganjuran ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti kesukanan di samping mempererat hubungan antara ATM dengan masyarakat," menurut kenyataan itu.
ATM memaklumkan, selain larian, acara itu turut menampilkan persembahan pentas, persembahan khas dan penyampaian hadiah selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM80,000.
Menurut kenyataan itu, penganjuran Armed Forces Run 2026 turut mencerminkan komitmen ATM untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui semangat kesukanan dan kebersamaan selaras dengan tema Hari Ulang Tahun ATM ke-93, “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara”.
-- BERNAMA