KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk memberi laluan kepada penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika membaca keputusan tersebut berkata, berdasarkan undi berbelah bahagi, dua pertiga ahli Dewan bersetuju, manakala yang selebihnya sama ada tidak hadir atau tidak berkecuali.

“Jumlah Ahli Yang Berhormat ialah 222 orang. Yang tidak hadir 17, yang tidak mengundi (abstain) 57, yang bersetuju 148. Oleh yang demikian lebih dua pertiga undi majoriti bersetuju, Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang,” kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Rang Undang-undang itu seterusnya dibaca buat kali ketiga dan mendapat jumlah undian majoriti Dewan Rakyat, untuk dibawa ke Dewan Negara.

Terdahulu sewaktu membaca RUU tersebut buat kali kedua, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemansuhan perkhidmatan Parlimen pada 1992 melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah mewujudkan kesan sampingan iaitu penghakisan autonomi badan tersebut.

Beliau berkata, Kerajaan hari ini mahu mengembalikan autonomi tersebut, kerana ia memperkukuh prinsip dan doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa, dan berdaya saing.

Selepas tiga dekad lamanya, Anwar berkata, Kerajaan MADANI membawa pentadbiran negara kembali ke landasan yang betul dengan penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.

“Dengan autonomi yang diperkukuh, Parlimen akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, menjaga kepentingan rakyat serta mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara,” tegasnya lagi.

Pada 1 Mac lepas lepas, Johari berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen.

Selain itu MPP juga bakal mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berkaitan Perkhidmatan Parlimen.

Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.