KUALA LUMPUR: Kebajikan penduduk di Parlimen Ampang akan terus diperkasakan menerusi penyelarasan yang lebih sistematik susulan pelantikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Penyelaras Parlimen Ampang.
Azman berkata, amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri itu akan dimanfaatkan untuk memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan kerajaan dapat disampaikan kepada penduduk secara lebih teratur, cekap dan menyeluruh.
Beliau berkata, bagi menjayakan tanggungjawab tersebut, usaha penyelarasan akan dilaksanakan bersama Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi-agensi kerajaan berkaitan supaya pelaksanaan setiap program dan bantuan kerajaan dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
βPenyampaian bantuan ini turut akan diselaraskan secara rapat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian,β katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang memerlukan bantuan berkaitan kebajikan di Parlimen Ampang boleh mengemukakan permohonan kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tindakan dan penyelarasan lanjut.
Menurutnya, beliau bersama pasukan akan melaksanakan amanah itu dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti bagi memastikan kebajikan penduduk Ampang sentiasa menjadi keutamaan.