Beliau yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang berkata kali terakhir dia bertemu dengan bapanya pagi tadi sebelum bertolak ke Pulau Pinang untuk bermain bola sepak.
Katanya, Allahyarham bapanya tidak menunjukkan apa-apa perubahan dan petanda luar biasa.
"Pagi tadi dia okay saja, tak ada sakit apa-apa pun. Dia memang main bola dan hari-hari joging tanpa ada masalah kesihatan. Dia hari-hari joging dan bersukan," katanya.
Menurut Muhammad Iszul, dia berada di Ipoh sebelum segera bergegas ke HPP bersama ibunya, Rozlita Abdullah, 55.
Jenazah Allahyarham Ishsam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di Ipoh, Perak 10 pagi Ahad.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Ishsam, 58, rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.
Beliau dikejarkan ke hospital sekitar jam 5.40 petang selepas menerima bantuan kecemasan di padang.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada jam 6.28 petang.
