KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Datuk Norliza Othman berkata Seksyen 5(1)(e) Akta JAC 2009 adalah jelas dan menetapkan hanya dua syarat, iaitu individu yang dilantik mestilah Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat dan kuasa melantik terletak pada Perdana Menteri.
“Pemohon mengakui kedua-dua syarat itu dipenuhi namun meminta mahkamah memasukkan syarat tambahan seperti kekananan, tempoh perkhidmatan, pengalaman terdahulu di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, bebas daripada dakwaan yang belum diputuskan, keperluan rundingan serta pematuhan kepada konvensyen tertentu.
“Bagaimanapun, tiada satu pun syarat itu dinyatakan dalam Akta JAC... peruntukan itu hanya mensyaratkan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat dan dilantik oleh Perdana Menteri... kedua-dua syarat itu dipenuhi dan mahkamah tidak boleh memasukkan kriteria yang tidak digubal oleh Parlimen,” katanya.
Beliau turut menolak hujah Badan Peguam Malaysia bahawa pelantikan itu menyalahi undang-undang, tidak rasional dan dibuat dengan niat tidak baik.
Norliza juga memutuskan bahawa tiada apa-apa dalam pelantikan Ahmad Terriruddin yang tidak logik atau bertentangan dengan piawaian moral yang diterima sehingga tiada pembuat keputusan yang munasabah boleh mencapainya.
“Oleh itu, permohonan bagi kebenaran adalah ditolak, dan kos sebanyak RM3,000 hendaklah dibayar oleh pemohon kepada Peguam Negara,” katanya.
Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan itu pada 12 Feb lepas dan menamakan Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri, JAC serta kerajaan sebagai responden.
Antara lain, Badan Peguam Malaysia memohon supaya keputusan Perdana Menteri melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC dibatalkan dan Perdana Menteri diarah menggunakan kuasa beliau untuk melantik anggota suruhanjaya itu selaras dengan undang-undang negara, konvensyen Perlembagaan dan Akta JAC.
Badan itu turut memohon penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin, dengan hasil siasatan didedahkan kepada umum, selain deklarasi bahawa pelantikan tersebut adalah menyalahi undang-undang, tidak sah dan terbatal.
Turut dimohon pelantikan itu digantung sementara menunggu pelupusan prosiding semakan kehakiman.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 18 Nov tahun lepas, Ahmad Terrirudin dilantik sebagai anggota JAC untuk tempoh dua tahun, iaitu bermula 15 Nov 2025 hingga 14 Nov 2027.
-- BERNAMA