KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang Syawal sudah tentunya kebanyakan umat Islam sibuk dengan persiapan juadah, pakaian baharu serta kuih raya, ataupun membuat persiapan seadanya.
Namun, menjengah kehidupan di sebalik tirai besi, semua rasa keterujaan itu seperti tidak lagi wujud. Tanpa orang tersayang, baju raya mahupun juadah yang dimasak oleh ibu tercinta, ketibaan hari raya disambut dengan penuh keinsafan.
Penulis berkesempatan ke Penjara Kajang untuk bertemu dengan dua banduan akhir yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah dan membunuh.
Melangkah masuk saja ke Penjara Kajang, sudah tergambar seribu satu kisah yang bakal penulis ikuti.
Dikenali dengan panggilan Din dan Ramli, masing-masing berusia 43 dan 54 tahun, terlalu banyak kisah hidup yang ingin mereka kongsikan selagi punya kesempatan waktu.
11 TAHUN DI TIRAI BESI
Din berasal dari Johor Bahru dan pernah menjadi penjawat awam suatu ketika dahulu sebelum dia dibuang kerja pada tahun 1995 kerana terlibat dengan dadah.
Tidak habis di situ, dia kemudiannya hanyut dalam dunia yang disangkakan serba-serbi menyebelahinya, sehinggalah tiba satu ketika, detik hitam berlaku pada tahun 2004.
Disabitkan atas kesalahan membunuh, Din kemudiannya menjadi penghuni tirai besi selama 11 tahun sebelum dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Tidak tahu bila nafas terakhirnya bakal tiba, setiap masa Din mendekatkan diri kepada yang Maha Esa agar keampunannya diterima atas segala kekhilafan lampaunya.
Ketika penulis bertemu Din, riak wajahnya kelihatan tenang meskipun sudah tahu pengakhiran hidupnya di tali gantung.
RINDU JUADAH RAYA ARWAH MAK
Kali terakhir Din merasa juadah raya hasil air tangan ibunya pada tahun 2004 sebelum dia ditahan pihak berkuasa.
Ketika menceritakan kerinduannya terhadap Allahyarham ibunya, air mata Din gugur tidak dapat menahan sebak rindu yang teramat dalam terhadap orang tercintanya itu.
"Biasanya Syawal di pagi raya, arwah mak buah ketupat, rendang, sambal kacang dan kuah lodeh saya suka.
"Itu yang terakhir dan masakan terakhir saya dapat, saya ingat untuk Syawal itu sahaja. Walaupun terlalu lama tapi tetap ingat masakan ibu. Memang tiada tolok bandingnya," jelas Din.
Insaf dengan perbuatannya, Din kini berubah kepada insan yang lebih baik sepanjang 11 tahun.
Setiap masa, sujud, zikir dan berdoa menjadi rutin harian Din bagi mendapatkan keampunan yang Maha Esa.
TIDAK SEMPAT BERBAKTI KEPADA MAK
Namun, air matanya tetap gugur mengenang perubahannya itu tidak dapat disaksikan arwah ibu.
"Saya memang terasa cukup sedih dan sebenarnya penjara banyak mengajar dan mengubah saya, jadi saya tidak sempat nak tunjuk saya sudah berubah dengan keluarga saya.
"Lebih lagi nak tunjuk dekat arwah mak saya yang saya dah berubah (sambil mengesat mata) ...kalau arwah mak masih ada, saya cuma nak cakap, saya nak minta maaf... dan saya dah berubah... dan saya nak berbakti kepada dia," jelas Din.
Ibunya meninggal dunia pada tahun 2011, sedangkan Din kekal sebagai penghuni tirai besi. Dalam sebak dan pilu mengenang wajah ibunya, Din tidak pernah lupa pesanan terakhir arwah.
"Pesanan arwah mak saya masih ingat sampai sekarang. Arwah mak saya cakap satu hari nanti apa yang mak cakap ni kau akan ingat balik, kau akan sentiasa ingat.
"Pesan mak saya, apa yang dia buat bukan untuk keburukan tapi untuk kebaikan saya sendiri, tetapi masa itu jiwa saya memberontak, jadi saya tak endahkan pesan mak," ujarnya lagi.
Namun kesal perbuatannya, hanya doa dapat dititipkan dalam sujudnya terhadap arwah ibu.
AMPUNKAN SAYA, JIKA INI SYAWAL TERAKHIR
Meskipun Din seakan-akan sudah tahu pengakhiran hidupnya di tali gantung, namun dia menerimanya dengan redha.
Setiap kali ketibaan Syawal, dia sentiasa merasakan inilah kali terakhir dirinya menyambut hari kemenangan umat Islam itu.
"Sebenarnya bila duduk sebagai banduan akhir ini... mungkin hari ini hari terakhir saya, Syawal ini Syawal terakhir saya, saya terfikir.
"Sebab dalam proses hukuman gantung ini, saya tidak tahu bila (akan digantung) dan saya tidak tahu cara itu macam mana.
"Jadi setiap waktu, saya dapat rasakan kemungkinan ini Syawal terakhir," jelas Din.
HALALKAN MAKAN MINUM SAYA DUNIA AKHIRAT
Sebelum nafasnya terhenti, Din turut memohon maaf kepada keluarganya serta keluarga mangsa atas kekhilafan lampau.
"Terlebih dahulu saya nak ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya mohon maaf zahir dan batin atas segala kesilapan saya lakukan kepada keluarga saya dan keluarga mangsa.
"Kepada kawan-kawan saya pun, saya minta maaf saya minta ampun... halalkan dunia akhirat. Dan pada keluarga mangsa, saya minta ampun sebab semasa kejadian ia di luar kawalan saya.
"Saya terlalu ikutkan hati dan perasaan," luah Din lagi.
DITAHAN KERANA DADAH
Penulis turut bertemu Ramli, seorang lagi banduan akhir yang menunggu hukuman gantung sampai mati.
Bekas jurutera syarikat perkapalan di ibu negara itu ditahan 20 tahun lalu atas kesalahan dadah.
Ramli, 54, tidak pernah terfikir hayatnya bakal berakhir di tali gantung, namun segalanya kini digagahi dengan hati yang redha.
Dua dekad di belakang tirai besi, mengajar Ramli menjadi insan yang lebih tabah serta mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Esa.
"Kalau di penjara banyak erti bagi saya hargai kehidupan ini. Terlalu banyak, dan penjara juga mendekatkan saya pada agama.
"Jika saya di luar (bebas) ketika ini, mungkin tiada masa untuk saya dekatkan diri dengan Allah SWT," kata Ramli.
KESAL KEKHILAFAN LAMPAU
Lebih meruntun jiwa apabila Ramli menceritakan ketika beliau ditahan, ketika itu juga anak sulungnya baru dilahirkan.
Mengenangkan nasibnya tidak dapat menatap, mendukung anak sulung membuatkan air mata Ramli gugur.
"Saya rasa kecewa saya tidak dapat membesarkan dia, dia membesar dengan ibu dia, tanggungjawab saya sebagai bapa tiada.
"Kalau diundurkan masa, memang saya nak jadi bapa yang lebih baik," jelas Ramli sambil menahan sebak.
Ditanya jika masih ada harapan buat Ramli daripada ke tali gantung, ujarnya hanya Pengampunan Diraja boleh memberinya peluang kedua untuk hidup.
Namun jika tidak, Ramli redha dengan ketentuan Ilahi jika ini Syawal terakhir buatnya.
"Kalau peluang kedua itu wujud, saya akan buat lebih baik daripada sedia ada. Berbakti kepada keluarga, anak, dan ibu-bapa akan saya tunaikan sebab itu tanggungjawab saya.
"Tetapi jika saya ke tali gantung, saya terima dengan tangan terbuka, mungkin ini yang terbaik untuk saya, saya terima," kata Ramli lagi.
PESANAN BUAT ISTERI DAN ANAK
Namun menurut Ramli, jika ini Aidilfitri terakhir buatnya, ada sesuatu yag ingin dititip buat isteri dan anak tercinta.
"Sekiranya ini Syawal terakhir, pesanan buat isteri... jaga anak kita baik-baik, berilah (didikan) agama kepadanya.
"Untuk anak pula, ayah ingatkan agar jangan jauh dan lupa dengan Allah SWT. Sentiasa dekatkan diri kepada Yang Maha Esa," jelas Ramli lagi sambil mengesat air mata.
Penulis dapat merasai betapa terbukunya kerinduan Ramli terhadap keluarganya, apa sahaja yang disoal, hanya keluarga yang menjadi kunci semangat buatnya.
Kisah dua banduan akhir ini perlu dijadikan iktibar kepada masyarakat tentang soal membuat pilihan dalam kehidupan. Meskipun pernah tersalah pilih, kekhilafan itu bukan bererti tiada ruang kembali ke pangkal jalan.
Satu yang harus menjadi peringatan, hargailah kehidupan serta nikmat yang diberikan Yang Maha Esa agar kita tidak tertipu, leka dan hanyut dalam lembah kegelapan.
Fareez Azman
Sat May 15 2021
Laporan Khas Banduan Akhir Syawal membawakan kisah dua banduan akhir disebalik tirai besi menyambut Syawal sebelum kehidupan mereka berakhir di tali gantung. - Foto Astro AWANI
[TERKINI] Ada unsur provokasi sebelum tembakan dilepaskan - Polis
Polis Selangor mengesahkan terdapat provokasi dilakukan sekumpulan pendatang asing tanpa izin warga Indonesia hingga menyebabkan seorang maut manakala empat lagi cedera selepas ditembak pasukan penguatkuasaan negara di perairan Tanjung Rhu, Banting.
[TERKINI] Dua lelaki Indonesia bantu hantar mangsa tembakan dikesan
Polis Selangor memburu dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai menghantar tiga daripada empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ke hospital di Serdang selepas cedera dalam tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu.
Protes di kedutaan Malaysia susulan pekerja Indonesia ditembak mati
Bantahan di hadapan kedutaan malaysia di indonesia itu berlaku sehari selepas pihak berkuasa Indonesia di wilayah Riau menerima mayat seorang pekerja asing berusia 50 tahun yang maut ditembak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana didakwa menceroboh.
Metro Riyadh beri penyelesaian isu kesesakan trafik
Sistem Metro baharu Riyadh menyediakan alternatif yang lebih pantas dan berpatutan selain memandu melalui jalan raya yang sesak di bandar itu.
Metro Riyadh terdiri daripada enam laluan sepanjang 176 kilometer, menghubungkan semua bandar dan mengurangkan masa perjalanan.
Metro Riyadh terdiri daripada enam laluan sepanjang 176 kilometer, menghubungkan semua bandar dan mengurangkan masa perjalanan.
Operasi mencari pemandu jatuh ke dalam lubang tanah jerlus diteruskan
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi berkata, langkah keselamatan yang ketat turut diambil kira bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin semasa operasi dijalankan.
Bintang Smallville ditahan memandu dalam keadaan mabuk
Tom Welling ditahan polis hujung minggu lalu kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Hamas bebaskan askar wanita Israel
Agam Berger diserahkan kepada wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di kawasan Al-Razan di Kem Pelarian Jabalia di utara Gaza.
[TERKINI] Lebih 60 penumpang dikhuatiri maut nahas Black Hawk-American Airlines
Menurut Ketua Bomba Washington, John Donnelly menerusi sebuah sidang media pada Khamis, setakat ini, setakat ini hanya 28 mayat berjaya ditemui
Mangsa di Sarawak Sabah meningkat
Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 11,886 orang setakat Khamis malam.
Nurin Hannani ditemukan selamat
Pelajar wanita Malaysia di Hiroshima, Jepun yang dilaporkan hilang telah ditemukan selamat dan dibawa ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.
Banduan akhir: 'Ampunkan kami jika ini Syawal terakhir'
Setiap kali menjelang syawal sudah tentu rata-rata masyarakat beragama Islam sibuk dengan persiapan juadah, pakaian baharu serta kuih raya.