Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata dapatan itu diperoleh hasil daripada soal siasat ke atas pemilik pusat perlindungan haiwan SPCA tersebut.
"Pegawai daripada JPVPP turut membuat pemeriksaan lanjut di dalam premis SPCA dan mendapati tiada bangkai kucing atau haiwan lain yang dijumpai serta tiada unsur-unsur penganiayaan serta kezaliman ke atas kucing dan haiwan lain dikesan untuk siasatan lanjut.
"Pemantauan lanjut semalam di situ juga tidak menemukan bangkai kucing dan haiwan lain yang mati, JPVPP tidak dapat mengesahkan punca kematian kerana tiada bangkai kucing ataupun haiwan lain yang dijumpai bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini polis menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 49 tahun berhubung dakwaan penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di Jelutong dan disyaki dibunuh.
Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat memaparkan seorang individu menunjukkan bangkai 10 ekor kucing dalam bungkusan plastik hitam yang dibuang ke dalam tong sampah besar di tepi jalan.
Dr. Saira Banu berkata siasatan akan terus dijalankan oleh JPVPP untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pihaknya telah mengambil langkah awal dengan terus ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan pada 9 pagi Jumaat lepas.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)