KUANTAN: Bangkai seekor paus dianggarkan berukuran lebih 10 meter panjang ditemukan dalam keadaan mereput, terdampar di Pantai Sungai Miang, Pekan, semalam.

Haiwan daripada kumpulan mamalia laut itu yang sebahagiannya terbenam di dalam pasir, dijumpai oleh nelayan kira-kira 4 petang, yang pada awalnya menyangkakan benda terbabit merupakan bongkah kayu besar.

Jabatan Perikanan (DOF) dalam kenyataan memaklumkan Jabatan Perikanan Negeri Pahang menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bangkai paus yang terdampar di pantai itu.

"Bertindak atas maklumat, pasukan daripada Pejabat Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang (RA), Terengganu telah turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati bangkai paus itu telah lama mereput, menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies. Oleh itu, pasukan IPPRA akan mengambil sampel bagi menjalankan analisis eDNA untuk menentukan spesies dengan lebih tepat," menurut kenyataan itu.

DOF menjelaskan berdasarkan keadaan bangkai haiwan mamalia itu, spesies yang dianggarkan adalah daripada jenis Bryde atau Fin.

"Pihak Jabatan Perikanan ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat mengenai penemuan ini. Kerjasama sebegini amat penting dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan marin di perairan negara.

"Untuk makluman, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam. Oleh itu, sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jabatan akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 16 saat termasuk beberapa gambar yang menunjukkan bangkai seekor ikan paus terdampar di tepi pantai yang dikongsikan oleh Iqbal Adzrin menerusi Facebook.

Sebelum ini, seekor paus seberat 80 kilogram pernah ditemukan terdampar di Kampung Tanjung Batu, Pekan, dekat sini pada tahun lepas.

-- BERNAMA