Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Kedudukan 56 rakyat Malaysia belum dikenal pasti, kedutaan berhubung dengan hospital

H.E. Mr. Mohd Firdaus Azman, Charge d'affaires of Malaysia to Nepal, paid a courtesy call on Hon'ble Minister Ramjee Yadav, Minister for Ministry of Youth, Labour and Employment._FB युवा, श्रम तथा रोजगार मन्त्रालय
Menurut Mohd Firdaus, pasukan mencari dan menyelamat Nepal ketika ini memberi tumpuan kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah untuk dibawa ke Kathmandu menggunakan helikopter. - Foto FB Mohd Firdaus Azman
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedudukan 56 rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan kejadian banjir kilat di Nepal masih belum dikenal pasti setakat ini.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman berkata, berdasarkan maklumat terkini diterima, kesemua rakyat Malaysia berkenaan sebelum ini dilaporkan menuju ke kawasan yang terjejas akibat bencana itu.

“Setakat ini berdasarkan maklumat yang kita terima, memang 56 rakyat Malaysia terbabit semuanya menuju ke arah kawasan yang terjejas.

“Yang sebahagiannya… yang membezakan ialah sama ada mereka berada di kawasan tinggi atau di kawasan rendah di kawasan yang terjejas ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Selain itu, dalam usaha mengesan mereka, kedutaan kini berhubung rapat dengan hospital di Kathmandu bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang dibawa ke ibu negara itu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Mohd Firdaus, pasukan mencari dan menyelamat Nepal ketika ini memberi tumpuan kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah untuk dibawa ke Kathmandu menggunakan helikopter.

“Kita buat masa ini, memandangkan usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh pasukan petugas Nepal hanya menumpukan kepada mereka yang cedera parah.

“Dan mereka ini akan dibawa ke Kathmandu, hospital di Kathmandu melalui helikopter dan hanya ini yang dirawat.

“Mereka yang cedera ringan, hanya akan dirawat di kawasan yang terjejas sahaja melalui pusat kesihatan yang dibuka di kawasan terjejas ini.

“Jadi bagi pihak kedutaan, kita buat masa ini berhubung rapat dengan pihak hospital-hospital di Kathmandu bagi mengenal pasti sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang dibawa ke Kathmandu bagi tujuan rawatan,” katanya lagi.

Tambahnya, kedutaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan hospital tempatan bagi mendapatkan maklumat mengenai status serta keberadaan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir kilat di Nepal.

Anwar berkata arahan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar, termasuk usaha menghubungi kementerian serta kedutaan Malaysia di New Delhi, India dan Kathmandu, Nepal.

Must Watch Video

Advertisement