Skip to main content

Malaysia

Bapa cari anak hilang sejak 30 April

41399721842_295x200.jpg
41399721842_295x200.jpg
Advertisement
Seorang bapa merayu anaknya Nur Rabiatul Afiqah, 17, pulang ke pangkuannya selepas menghilangkan diri sejak 30 April lalu.

Nizam Tamby berkata, beliau amat risau terhadap keselamatan anaknya yang dikhuatiri menjadi mangsa culik atau mengikut rakan yang tidak dikenalinya.

Menurutnya, anaknya disedari hilang selepas seorang lagi anaknya mahu mengambil Nur Rabiatul daripada tempat kerja di sebuah restoran makanan segera di Plaza Pandan Malim.

Bagaimanapun, rakan sekerja memberitahu anaknya mengikut seorang lelaki yang baru empat hari dikenali menerusi laman media sosial kira-kira pukul 1 petang, pada 30 April lalu.

Nizam menolak kemungkinan anaknya berada bersama bekas isterinya yang kini menetap di Terengganu berikutan seorang anaknya yang tinggal di sana memberitahu, Nur Rabiatul tiada bersamanya.

Dia turut berasa kesal berikutan pihak restoran berkenaan enggan bekerjasama untuk mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan polis.

Nizam yang mendapatkan khidmat pembela Barisan Nasional (BN) bagi menjejaki anaknya turut memberitahu, sejak dua tahun di bawah jagaannya, Nur Rabiatul tidak pernah melakukan tindakan luar batasan seperti lari dari rumah.

Katanya, dia turut menerima panggilan misteri seorang lelaki dari Besut, Terengganu yang menanyakan khabar anaknya pada malam kehilangan Nur Rabiatul.

Sementara itu, Pembela BN Negeri, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat peguam pembela bagi memberikan notis meminta kerjasama restoran makanan segera itu mendedahkan rakaman CCTV bagi membantu siasatan.

Katanya, usaha itu amat penting bagi memudahkan tugas pencarian oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, orang ramai boleh menghubungi talian Nizam di talian 011-33150736 sekiranya mengenali anaknya.

Must Watch Video

Advertisement