SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak autistik, didakwa menjadi mangsa dera di taska apabila bapanya menemukan kesan lebam yang besar pada belakang badan ketika ingin memandikan anak sulungnya itu.

Bapanya, Nazmi Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu sebaik menjemput anaknya pulang dari taska dan apabila ditanya mengenai perkara tersebut, anaknya tidak mampu memberikan respons kerana berdepan masalah pertuturan.

Menurutnya, dia dan isteri keesokan harinya bergegas ke klinik untuk mendapatkan rawatan buat anaknya itu termasuk bertanyakan pandangan tentang insiden berkenaan, namun doktor pakar merumuskan ia kesan dipukul, bukannya terjatuh daripada gelongsor sepertimana dikatakan guru taska.

Jelas pemuda terbabit, pihaknya cuba menghubungi guru anaknya itu, tetapi tidak berjaya.

“Pada pagi 16 Januari, isteri saya yang pulang ‘on-call’ terus bawa anak kami jumpa doktor pakar di Hospital Shah Alam. Dia juga menghubungi cikgu sebelum ini dan apabila ditanya melalui telefon, katanya mungkin anak kami terjatuh semasa bermain gelongsor.

“Semasa di hospital, isteri saya meminta pendapat lima doktor pakar dan kesemuanya mengatakan anak kami luka kerana dipukul, bukannya terjatuh. Kemudian, dia terus buat laporan polis sepertimana dicadangkan doktor.

“Selama sebulan ini, saya tidak menceritakannya kerana kes masih dalam siasatan polis dan tiada seorang pun cikgu dari taska itu yang mengaku, semua kata tak tahu ada kesan lebam pada badan anak kami.

“Lebih malang, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dalam kelas anak kami kerana dikatakan rosak dan sedang diselenggara. Kenyataan bahawa anak kami jatuh gelongsor juga tak benar kerana dalam CCTV, tiada kelibat anak kami bermain di sana atau sesiapa pun yang jatuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Nazmi turut mendakwa, pihaknya diberitahu pada Khamis bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA), malah tiada tangkapan reman dibuat ke atas mana-mana guru taska berkenaan sehingga sekarang.

Dakwanya lagi, alasan diberi disebabkan tiada rakaman CCTV dan bukti tidak mencukupi meskipun terdapat laporan perubatan disahkan pihak hospital.

“Laporan pusat terapi pula mengatakan perubahan anak kami sangat ketara selepas kejadian. Ini berita yang amat mengecewakan kami sekeluarga kerana begitu mudah kes dilepaskan.

“Selamatkah anak-anak kita dihantar ke taska hanya kerana tiada bukti CCTV, bahkan semua pihak yang bertanggungjawab terlepas begitu sahaja?

“Justeru, kami memohon doa agar keadilan terbela buat anak kami. Doakan semoga semua yang terlibat menganiaya anak kami sama ada secara terus atau tersembunyi diberi pembalasan setimpal jika tidak di dunia, di akhirat kelak,” ujar Nazmi. - Sinar Harian