Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
''Setakat ini IPD Dang Wangi telah terima tujuh laporan polis berkaitan isu yang melibatkan Yang Berhormat Hannah Yeoh," katanya dalam kenyatan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) mendesak Hannah supaya meletakkan jawatan bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.
Desakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu yang menolak saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Segambut itu terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan adalah fitnah.
Saman fitnah yang difailkan Hannah pada 30 Januari 2020 dibuat kerana mendakwa Musa antara lain dalam ucapannya di satu forum di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), menuduhnya menulis buku Becoming Hannah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia.
Turut mendesak adalah Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkannya daripada Kabinet berikutan pengakuan Hannah yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
Menurutnya, dalam penghakiman mendapati bahawa kenyataan Musa tidak bersifat fitnah dan Hannah sendiri melalui bukunya mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.
Kata beliau, walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengharamkan buku tersebut, kandungannya menimbulkan kebimbangan mengenai usaha penyebaran agama Kristian bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.
Susulan itu, Hannah menerusi satu hantaran di Facebooknya memberitahu, beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Menyifatkan dakwaan itu tidak benar, Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, penyebaran video dan mesej berniat jahat tersebut turut menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap Musa.
BERITA LANJUT MENYUSUL