Asmar Asmadi Abdullah Sani, 49, yang ketika itu TKSUS kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri berkata terdapat juga beberapa individu berjumpa secara terus dengan Muhyiddin berhubung permohonan projek berkenaan sebelum berjumpa dengan beliau.
"Perjumpaan dengan saya adalah untuk menyerahkan surat-surat permohonan atau minat yang diminitkan oleh Tan Sri Muhyiddin berserta profil syarikat.
"Antara individu saya jumpa ialah Datuk Hishamuddin Abdul Karim yang mewakili Datuk Wan Saiful. Datuk Hishamuddin berjumpa dengan saya di pejabat saya di TKSUS, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, untuk menyerahkan dokumen-dokumen (berkaitan permohonan projek) sekitar 2021," katanya.
Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu, yang berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
Asmar Asmadi, yang kini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sebelum ini beliau tidak mengenali Hishamuddin dan mula kenal individu terbabit pada Mac 2021.
"Semasa beliau datang berjumpa dengan saya di pejabat Perdana Menteri pada masa itu, seingat saya, pada mulanya saya enggan berjumpa kerana saya tidak mengenali beliau langsung dan setahu saya, saya tidak ada apa-apa urusan dengan beliau.
"Setelah beliau memperkenalkan diri beliau iaitu Datuk Hishamuddin yang merupakan wakil kepada Datuk Wan Saiful, saya kemudian memaklumkan kepada Datuk Hishamuddin bahawa saya perlu mendapatkan pengesahan daripada Tan Sri Muhyiddin. Perjumpaan antara saya dengan Datuk Hishamuddin berlaku dalam tempoh singkat iaitu lebih kurang 15 minit," kata saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Siti Amirah Muhammad Ali.
Asmar Asmadi berkata selepas beberapa hari, Hishamuddin berjumpa sekali lagi dengan beliau bertanyakan mengenai status permohonan syarikat berkaitan dengan program Jana Wibawa yang dibawa oleh Wan Saiful ketika berjumpa dengan Muhyiddin.
"Kalau tidak silap saya, Datuk Hishamuddin ada memberitahu kepada saya nama syarikat tersebut adalah MCS Management Sdn Bhd. Saya telah membuat semakan ke atas nama syarikat tersebut di pejabat dan saya dapati ia diluluskan tetapi secara prakelayakan sepertimana catatan minit milik Tan Sri Muhyiddin bertarikh 4 Mac 2021 pada surat permohonan syarikat MCS Management tersebut," katanya.
Saksi itu turut mengesahkan surat permohonan daripada syarikat MCS Management yang dialamatkan kepada Muhyiddin bagi mendapatkan projek Projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur secara rundingan terus.
"Surat inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Hishamuddin semasa berjumpa dengan saya. Datuk Hishamuddin telah memaklumkan kepada saya bahawa surat ini adalah surat minat yang telah dibawa oleh Datuk Wan Saiful berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin bagi mendapatkan projek Jana Wibawa.
"Saya memaklumkan sekali lagi kepada Datuk Hishamuddin, sepertimana arahan diterima daripada Tan Sri Muhyiddin dan juga Menteri Kewangan supaya setiap pemohonan kelulusan projek secara prakelayakan, ia perlulah lengkap dengan permohonan lima syarikat dan barulah akan dihantar kepada Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud yang ketika itu Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Asmar Asmadi berkata beliau kemudian menerima lima surat permohonan untuk memohon tender secara parakelayakan bagi melaksanakan projek Central Spine Road daripada pembantu peribadinya ketika itu, Rajmah Mohd Jamal.
Bagaimanapun, saksi berkata beliau tidak tahu syarikat-syarikat yang dibawa oleh Hishamuddin milik siapa kerana beliau hanya menguruskan senarai-senarai syarikat yang diminitkan dan diarah oleh Muhyiddin sahaja dan tidak terlibat langsung dalam proses permohonan awal daripada syarikat-syarikat.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful membantah beberapa perenggan yang menyebut nama Muhyiddin dan anak guamnya atas dakwaan keterangan itu hanya dengar cakap 'hearsay', namun TPR Siti Amirah dan Dr Ifa Sirrhu Samsudin berkata keterangan itu bukan 'hearsay' dan mahkamah perlu memberi peluang kepada saksi pendakwaan untuk membaca pernyataan saksinya.
Hakim Rosli Ahmad kemudian berkata pihak peguam boleh menyoal balas saksi berkenaan dan menetapkan 24 Feb ini untuk menyambung perbicaraan.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima (SST) bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)