Allahyarham yang dimasukkan ke hospital itu pada minggu lalu akibat komplikasi jantung, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 6.45 petang di Unit Rawatan Koronari.
Ketika sedang menerima rawatan Allahyarham turut disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Perkara itu disahkan adik Allahyarham, Siti Salha Abu Bakar.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Taming Jaya, Cheras kira-kira 8 pagi esok untuk dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10, Cheras.
Bekas pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) itu meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun yang kini menjadi yatim piatu.
Isterinya, Nor Azlina Jaafar, yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru pada 17 Oktober 2023.
Dua hari lalu, Muhammad Basir juga kehilangan ayah mertuanya (bapa Noor Azlina) yang menghembuskan nafas sehari selepas pulang daripada melawat Allahyarham di Hospital Serdang.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Fahmi menerusi hantaran di X mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau pernah menziarahi Muhammad Basir yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak tabung itu diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.
"Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir dan saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya.
Allahyarham Muhammad Basir adalah antara ratusan kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang terkesan akibat penutupan syarikat itu dan sehingga kini tidak mendapat sebarang pampasan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)