Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mewakili arwah suaminya, Tun Daim Zainuddin, dalam permohonan semakan kehakiman berhubung pembekuan akaun peribadi keluarga dan 18 syarikat milik mereka.
- Na'imah dan keluarganya mencabar tindakan pihak berkuasa yang menyita dan membekukan akaun mereka, mendakwa tindakan tersebut dilakukan dengan niat politik dan memberi kesan negatif terhadap keluarga mereka.
- Na'imah juga berdepan pertuduhan berasingan kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan asetnya, namun telah dibebaskan daripada pertuduhan tersebut selepas kematian Daim.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan tersebut susulan pihak Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.
Peguam keluarga terbabit, Nizamuddin Abdul Hamid, mengesahkan keputusan itu kepada media selepas prosiding berlangsung.
Allahyarham Daim, yang juga bekas Menteri Kewangan, meninggal dunia pada 13 November tahun lalu di Hospital Assunta, Petaling Jaya, akibat komplikasi strok. Sebelum pemergiannya, beliau menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 6 Jun tahun lalu oleh Na’imah bersama empat anak mereka serta 18 syarikat yang berkaitan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Persekutuan.
Dalam permohonan tersebut, mereka mencabar tindakan pihak berkuasa yang menyita dan membekukan akaun mereka, yang menurut mereka dilakukan dengan niat politik.
Na’imah mendakwa tindakan tersebut telah memberi kesan negatif terhadap keluarganya dari segi ekonomi dan sosial.
Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk membekukan aset mereka adalah satu usaha sengaja untuk menyasarkan keluarganya dengan menuduh mereka memperoleh kekayaan melalui cara yang tidak sah.
“Saya percaya bahawa segala tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh responden dalam kes ini adalah bertujuan untuk memburukkan nama keluarga saya, dengan menggambarkan kami sebagai keluarga yang korup,” katanya dalam dokumen mahkamah.
Na’imah turut menjelaskan bahawa mereka sekeluarga tidak pernah didakwa di mahkamah atas sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), walaupun akta tersebut telah digunakan untuk menyita aset mereka.
Menerusi tindakan undang-undang ini, Na’imah dan pemohon lain memohon deklarasi bahawa penyitaan akaun mereka tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan dan dilakukan dengan niat jahat. Mereka turut menuntut perintah mandamus untuk membatalkan tindakan membekukan akaun mereka, selain menuntut ganti rugi am atas kerugian yang dialami akibat tindakan tersebut.
Tahun lalu, pihak Jabatan Peguam Negara menyatakan hasrat untuk membantah permohonan semakan kehakiman yang difailkan keluarga berkenaan.
Selain kes ini, Na’imah juga berdepan pertuduhan berasingan di mahkamah kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan asetnya. Namun, susulan kematian Daim, mahkamah telah melepaskan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini.