KUALA LUMPUR: Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, manakala pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM2,500 menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan Bantuan Awal Persekolahan itu bakal memanfaatkan 5.3 juta murid dengan peruntukan RM1 bilion.
"Ini bermakna, keluarga dengan empat orang anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan di sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu sendiri dengan guru.
Langkah itu bertujuan menggalakkan tanggungjawab bersama dalam kemajuan akademik dan pembentukan sahsiah anak-anak.
Sementara itu, beliau berkata, Elaun Sara Hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam akan memanfaatkan 90,000 pelajar.
Kadar tersebut menyamai elaun yang diberikan kepada pelajar matrikulasi.
Dalam pada itu, kerajaan menyediakan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk lebih 800,000 murid.
Anwar turut mengumumkan peluasan pengambilan Pembantu Guru ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengurangkan beban tugas perkeranian supaya guru dapat memberikan tumpuan kepada tanggungjawab mendidik.
Pengambilan Pembantu Guru akan diperluas secara berfasa selepas penilaian keberkesanan dilaksanakan.