Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Belia aktif sukarelawan bakal terima insentif e-dompet RM100

Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet sebanyak RM100 kepada anak muda yang aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih. - Gambar fail
Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet sebanyak RM100 kepada anak muda yang aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan melaksanakan Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada belia aktif dalam aktiviti kesukarelawanan bersama NGO terpilih.
  • Perdana Menteri berkata inisiatif ini bertujuan menyemai nilai ihsan dan semangat membantu dalam kalangan generasi muda selaras teras Malaysia MADANI.
  • Program ini dijangka memperluas budaya kesukarelawanan dan membentuk generasi muda yang lebih prihatin serta berjiwa besar dalam membantu masyarakat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet sebanyak RM100 kepada anak muda yang aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi menyemai nilai ihsan dan sikap saling membantu dalam kalangan generasi muda, selaras dengan teras Malaysia MADANI.

Menurut beliau, semangat ihsan bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat Malaysia, sebaliknya telah lama menjadi budaya yang merentasi kaum, agama dan latar belakang.

Beliau mengambil contoh beberapa kisah yang menyentuh hati rakyat termasuk saudara Usop yang dikenali menerusi inisiatif "Minyak Hitam Jalanan", selain kisah jururawat Deena Nadzhiefa yang tular kerana menyuap makanan kepada pesakit berbangsa India serta Zira yang menyediakan makanan percuma kepada murid-murid yang kelaparan.

“Inilah MADANI yang dimaksudkan apabila ihsan tidak mengenal sempadan bangsa. Maka sebab itu, nilai-nilai murni harus meresap dalam diri anak-anak kita.

"Kerajaan akan melaksanakan Program Budi Belia bagi menggalakkan lebih ramai anak muda terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kesukarelawanan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi program tersebut, belia yang berjaya melengkapkan jumlah jam ditetapkan dalam aktiviti sukarelawan bersama NGO terpilih akan menerima insentif e-dompet sebanyak RM100.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha kerajaan bukan sahaja menghargai sumbangan golongan muda kepada masyarakat, malah membentuk generasi yang lebih prihatin, berjiwa besar dan mempunyai semangat kebersamaan dalam membantu mereka yang memerlukan.

Program itu juga dijangka mampu memperluas budaya kesukarelawanan dalam kalangan belia, sekali gus menjadikan amalan berbakti kepada masyarakat sebagai sebahagian daripada gaya hidup generasi muda negara.

Must Watch Video

Advertisement