KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini diawalkan kepada jam 3.30 petang.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menerusi Pemasyhuran Yang Dipertua sebelum urusan persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini.
Menurutnya, surat pemakluman mengenai perubahan masa pembentangan Bacaan Kedua Belanjawan 2027 itu telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.
Pada masa sama, Ramli turut memaklumkan, solat Jumaat akan diadakan di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia bagi kemudahan Ahli Parlimen beragama Islam.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 bermula hari ini dan akan berlangsung selama 37 hari sehingga 8 Disember depan.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merupakan Belanjawan MADANI kelima sejak pentadbiran Kerajaan MADANI dibentuk pada 2022.
Belanjawan kali ini membawa tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Ia berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu reformasi tatakelola.