Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Elaun murid khas naik kepada RM200, bantuan OKU cecah RM1.5 bilion

Peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 OKU, ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail
Peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 OKU, ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan menerusi Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan RM50 itu bakal memanfaatkan 150,000 murid pendidikan khas, termasuk kanak-kanak autistik.

Pada masa sama, peruntukan keseluruhan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) turut meningkat kepada RM1.5 bilion bagi memanfaatkan lebih 300,000 individu.

“Peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 OKU,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut mengumumkan kenaikan Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

Kenaikan itu dijangka memanfaatkan 20,000 guru pendidikan khas di seluruh negara.

Dalam pada itu, dua Pusat Permata Kurnia baharu akan dibina di Melaka dan Pahang bagi menyediakan pendidikan, sokongan serta latihan khusus kepada kanak-kanak autistik.

Kerajaan juga akan membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa.

Langkah itu bertujuan membantu anak autistik daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan bimbingan awal yang lebih berkesan.

Sementara itu, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.

Ambang pendapatan bagi melayakkan penerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya pula meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000.

Selain itu, sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf kepada Pusat Terapi Khusus bagi memanfaatkan 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.

Kerajaan turut menyediakan latihan kemahiran khusus kepada 3,000 penjaga OKU baharu bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan di seluruh negara.


 

Must Watch Video

Advertisement