KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara susulan hasil penjualan nombor pendaftaran khas H.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu akan disalurkan pada minggu hadapan sebagai antara langkah memulangkan hasil berkenaan kepada rakyat.
“Susulan penjualan nombor plat khas H baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberikan bantuan khas kewangan 'one-off' RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
“Bantuan ini akan disalurkan pada minggu hadapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata hasil penjualan nombor pendaftaran khas itu turut dimanfaatkan untuk membantu golongan lain, termasuk mahasiswa yang menerima bantuan tiket penerbangan RM500, golongan muda berpendapatan rendah yang menjalani ujian lesen motosikal kelas B2 secara percuma serta pengagihan topi keledar percuma.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan kerajaan juga akan memperkukuh ketelusan perolehan awam menerusi pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027.
Katanya, maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak akan didedahkan bagi meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan perolehan kerajaan.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut menerima peruntukan RM1.1 bilion bagi memperkukuh keupayaan operasi.