KUALA TERENGGANU: Bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) mula memasuki pasaran Terengganu apabila dua cawangan kedai runcit menerima penghantaran pertama hari ini.


Ringkasan AI
  • Bekalan BPT bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10kg mula memasuki pasaran Terengganu dengan dua kedai runcit menerima penghantaran pertama.
  • Pihak Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) akan memantau proses penghantaran dan memastikan peniaga mematuhi harga jualan yang ditetapkan, dengan tindakan diambil jika berlaku perlanggaran.
  • Harga beras yang lebih rendah ini membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah, terutama bagi keluarga besar, dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang.


Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri Ahmad Suffian Zulkipeli berkata kedai runcit Q Mart Merbau Patah dan Q Mart Bukit Bayas di sini masing-masing menerima 50 dan 30 kampit beras mengikut pesanan pembelian yang dibuat.

"Penghantaran ini ikut kepada berapa pesanan yang dibuat kedai runcit atau pasar raya. Di Terengganu, hari ini hanya dua kedai runcit ini yang terima penghantaran sebab mereka telah buat PO (pesanan pembelian) lebih awal.

"Penghantaran akan dibuat secara berperingkat sebab program ini baru bermula semalam. Jadi, ia mungkin dalam proses penghantaran untuk pesanan. Ada juga pemborong yang cuti sebab mereka dari luar seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor manakala Terengganu tiada pemborong," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Suffian juga berkata setakat ini tiada kuota ditetapkan untuk setiap peniaga dalam membuat pesanan sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan kewangan masing-masing.

Beliau berkata pihaknya akan memantau setiap proses penghantaran di seluruh Terengganu bagi memastikan jumlah yang dihantar sama dengan pesanan yang dibuat sebelum melaporkannya kepada ibu pejabat di Putrajaya.

"KPB juga akan buat pemeriksaan untuk pastikan peniaga pamerkan tanda harga jualan. Kita juga akan lihat kepada pematuhan peniaga untuk menjual pada harga yang ditetapkan. Kalau berlaku perlanggaran, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522)," katanya.

Beliau juga turut meminta pengusaha kedai runcit supaya menjual dua kampit sahaja bagi setiap individu seperti ditetapkan bagi mengelakkan salah guna terutama daripada kalangan peniaga kedai makan yang berkemungkinan membeli dalam kuantiti yang banyak bagi tujuan perniagaan.

Sementara itu, Roziah Md Noor, 55, dari Kampung Wakaf Mempelam di sini berkata jualan beras pada harga tersebut amat membantunya dalam menjimatkan perbelanjaan barangan asas.

Wanita itu yang juga seorang peniaga berkata ia bagaikan 'rezeki terpijak' buatnya apabila terjumpa 'Beras Super Special Tempatan' yang dijual pada harga RM26 bagi bungkusan 10kg itu.

"Alang-alang dah jumpa, memang saya ambil peluang sebab bukan selalu dapat harga ini. Sebelum ini pun saya guna beras import dengan harga paling murah saya boleh dapat RM38.

"Saya percaya harga jualan ini sangat meringankan beban terutama untuk isi rumah yang besar," katanya yang berharap agar penjualan BPT pada harga itu boleh diteruskan pada masa akan datang.

Semalam, media melaporkan BPT tiada dalam pasaran di Terengganu meskipun kerajaan telah mengumumkan bahawa beras jenis itu akan mula dijual mulai 1 Mac.

-- BERNAMA