Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membenarkan suspek yang juga doktor bahagian forensik berusia 43 tahun itu direman selama empat hari sehingga 10 Mac.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Difahamkan, suspek ditahan semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsanya.
Wanita itu dipercayai menjadi mangsa suspek ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023.
Mangsa dikatakan tampil membuat laporan polis pada 4 Mac lalu selepas mendapati suspek ditahan terdahulu atas kesalahan sama.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung kes doktor sebuah hospital di sini, ditahan pada 26 Feb susulan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.
Pengarah JKNPP Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan itu.
Difahamkan doktor terbabit berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita awam dan kelakuannya dikesan kakitangan hospital.
