Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen memutuskan perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autistik diteruskan mengikut jadual asal.
- Perbicaraan dijadualkan bermula dari 3 hingga 7 Februari, dengan sebutan permohonan untuk membatalkan kes akan didengar pada 4 Februari.
- Ibu bapa kanak-kanak tersebut mendakwa pertuduhan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan pembelaan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini.
Dr Syahliza berkata, memandangkan notis usul yang difailkan suami isteri itu belum didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, maka prosiding perbicaraan akan diteruskan pada 3 Februari.
“Pada prosiding lalu, mahkamah telah meminta pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status notis usul itu, hari ini.
“Disebabkan permohonan itu masih belum didengar di Mahkamah Tinggi, maka mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan pada bulan depan,” katanya.
Mendengar perkara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu berkata, sekiranya perbicaraan diteruskan ia akan memprejudiskan anak guamnya.
Hakim ini kemudiannya berkata, mahkamah kekal dengan keputusan untuk meneruskan prosiding seperti biasa.
Katanya, jika Mahkamah Tinggi belum memutuskan sebarang keputusan, jadi kes pengabaian ini akan diteruskan bermula 3 hingga 7 Februari.
Menurutnya, sebutan bagi permohonan berkenaan ditetapkan pada 4 Februari di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Susulan itu, pihak pendakwaan akan memfailkan afidivit berhubung permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi itu.
“Saya memohon arahan lanjut daripada mahkamah berhubung permohonan penangguhan prosiding oleh pembelaan, namun pendakwaan ingin memaklumkan, kami bersedia dengan perbicaraan,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini bermula 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.
Pada 21 Januari lalu, ibu bapa kanak-kanak itu memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta-merta daripada satu pertuduhan mengabai kanak kanak-kanak autisme itu.
Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon, membuat permintaan berkenaan dalam notis usul yang difailkan menerusi Tetuan Wong & Co dengan menamakan pihak pendakwaan sebagai responden.
Berdasarkan notis usul terbabit, pasangan berusia 30 tahun itu memohon kes berkenaan dibatalkan dengan alasan pertuduhan yang dibuat pada 13 Jun 2024, tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Bukan itu sahaja, mereka mendakwa ia tidak mengandungi maklumat yang mencukupi mengenai unsur-unsur kesalahan yang didakwa dilakukan.
Semasa prosiding, Haresh berkata, Mahkamah Tnggi telah menerima salinan termeterai notis itu dan mengesahkan, pengurusan kes akan dibuat di hadapan timbalan pendaftar pada Selasa minggu depan.
“Jadi, kami mohon tarikh-tarikh bicara yang ditetapkan pada Februari dan Mac depan, dilapangkan sementara menunggung pelupusan usul notis terbabit.
“Saya percaya pendakwaan tidak membantah mengenai penangguhan itu,” katanya yang hadir bersama peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mengesahkan telah menerima salinan notis usul daripada pihak pembelaan pada Jumaat lepas. -- Sinar Harian