Skip to main content

Malaysia

BN akan adakan taklimat khas Laporan RCI Tabung Haji

[TB]_BN TABUNG HAJI_FILEPIC
Taklimat itu diadakan menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos bagi membahaskan dapatan laporan RCI tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan taklimat khas pada 10 Ogos ini berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Perkara itu disahkan melalui satu surat jemputan kepada media pada Rabu.

Taklimat itu diadakan menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos bagi membahaskan dapatan laporan RCI tersebut. 

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dijangka mempengerusikan mesyuarat yang akan berlangsung pada jam 5 petang di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Surat jemputan yang ditandatangani Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, turut dihantar kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, serta pemimpin parti komponen termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Turut dijemput menghadiri taklimat itu ialah pemimpin-pemimpin parti komponen BN, Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen gabungan berkenaan.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu sidang khas Parlimen akan diadakan pada 11 Ogos untuk membahaskan penemuan laporan RCI mengenai Tabung Haji.

Sidang khas tersebut diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan berkenaan dan membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Laporan RCI itu antara lain mengesyorkan pelaksanaan audit forensik terhadap beberapa keputusan pelaburan lampau yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan ketara nilai aset Tabung Haji.

Siasatan yang merangkumi tempoh pengurusan dan operasi TH dari tahun 2014 hingga 2020 itu turut mengenal pasti beberapa pelaburan yang memerlukan penelitian forensik lanjut.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan mendapati terdapat bukti transaksi mencurigakan serta unsur penyembunyian maklumat dalam beberapa urusan yang dikaji.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi meneliti dapatan laporan RCI tersebut, termasuk kemungkinan berlakunya kesalahan seperti rasuah, pecah amanah jenayah, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Sidang khas Dewan Rakyat minggu depan dijangka menjadi platform utama untuk membincangkan implikasi laporan itu serta langkah susulan yang akan diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Must Watch Video

Advertisement