KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan, menyelaras pembahagian kawasan operasi mengikut daerah, bagi mengelakkan pertindihan tugas ketika menghadapi bencana banjir.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pembahagian itu, membolehkan setiap agensi memberi tindak balas awal di kawasan yang telah ditetapkan, sekali gus memastikan panggilan kecemasan di lokasi lain tidak terabai.
Beliau berkata tanpa penyelarasan, beberapa agensi berkemungkinan bergerak ke lokasi sama selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999.
“Keadaan itu boleh menyebabkan kekurangan sumber operasi di kawasan lain, kerana pergerakan bot dan aset penyelamatan memerlukan masa untuk dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Kalau tidak diselaraskan, tiga agensi memberi perkhidmatan di tempat yang sama, bagaimana untuk panggilan kedua di lokasi lain?,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Farhan Sufyan berkata pembahagian kawasan operasi telah dilaksanakan pada peringkat daerah dan negeri, manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) akan menjadi platform penyelarasan operasi ketika bencana.
Beliau berkata latihan, perbincangan dan mesyuarat antara agensi turut dilaksanakan, bagi memastikan setiap pasukan memahami peranan masing-masing.
“Bantuan tambahan daripada agensi lain masih boleh digerakkanb sekiranya sesuatu kawasan mengalami banjir lebih serius dan memerlukan sokongan tambahan,” katanya.
Hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada membabitkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah hingga Rabu.
Ketua Pengarah Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilapor berkata analisis terhadap model-model ramalan cuaca, menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara hingga Rabu yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
Menerusi kenyataan yang dikemas kini setakat 8.30 pagi tadi, Mohd Hisham memaklumkan amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan lima jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Sementara itu, mengulas sama ada panggilan palsu meningkat ketika musim banjir, Farhan Sufyan berkata sistem NG999 membantu mengurangkan panggilan sedemikian kepada JBPM, menerusi proses saringan awal sebelum maklumat kecemasan disalurkan kepada agensi berkenaan.
Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan panggilan diterima ditapis terlebih dahulu bagi mengurangkan gangguan terhadap operasi agensi penyelamat dan walaupun panggilan palsu masih boleh berlaku, jumlah yang diterima JBPM Kelantan ketika ini didapati tidak banyak.
“Kalau dahulu, satu bulan kadang-kadang berpuluh-puluh panggilan yang masuk, orang hendak menguji sistem atau tidak bercakap apa-apa. Tetapi sekarang menggunakan sistem NG999, perkara itu sudah dikawal di peringkat awal,” katanya.
Farhan Sufyan berkata saringan berkenaan membantu memastikan maklumat berkaitan kejadian kecemasan dapat disalurkan kepada agensi berkaitan dengan lebih teratur.
Bagaimanapun, beliau berkata JBPM Kelantan tidak mempunyai statistik khusus berhubung jumlah panggilan palsu yang diterima ketika ini.
-- BERNAMA