Pengarahnya Faizal Izham Pikri berkata pihak Perhilitan menerima aduan awam berkenaan seekor buaya yang kelihatan di kawasan Monkey Bay, Pantai Cermin pada kira-kira 4.30 petang semalam.
"Sebaik sahaja aduan diterima, beberapa petugas jabatan ke lokasi dan siasatan awal mendapati memang ada seekor buaya terapung di laut dengan panjang anggaran dua meter.
"Hasil siasatan awal mendapati buaya ini bergerak sejauh 50 meter dan sentiasa ulang-alik di kawasan tersebut sejak malam sebelumnya, jika air surut ia nampak lebih jelas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Faizal Izham berkata pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan aduan bagi mengurangkan kebimbangan orang awam.
"Insya-Allah jika tiada masalah, kita akan cuba pasang perangkap di kawasan bakau dan tengok pada kesesuaian kerana pada waktu malam haiwan ini akan bergerak ke kawasan tersebut," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjaga keselamatan diri dan keluarga, selain tidak melakukan provokasi sekiranya ternampak buaya tersebut serta segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan atau pihak berkuasa lain.
--BERNAMA