PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota tentera terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, menukarkan hukuman itu dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh anak perempuan kandungnya, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44.
"Mahkamah mendapati tiada miscarriage of justice dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan perayu bersalah. Oleh itu, sabitan dikekalkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Hakim Nordin.
Berhubung hukuman, Hakim Nordin berkata terdapat split decision dalam kes itu apabila Hakim Vazeer Alam dan Mohd Nazlan berpendapat hukuman mati terhadap tertuduh wajar digantikan.
"Saya bagaimanapun tidak bersetuju dengan kedua-dua panel hakim ini kerana bagi saya, ini merupakan satu kes yang hukuman mati sepatutnya dikekalkan. Namun, kamu bernasib baik kerana majoriti panel dalam kes ini bersetuju hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.
"Mereka berpendapat hukuman yang sesuai bagi kes ini ialah penjara 40 tahun dari tarikh tangkap (31 Jan 2018) serta 12 sebatan," katanya.
Pada 22 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh Nur Aina Nabihah, 9, di sebuah rumah di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 8.30 malam dan 11.30 malam pada 31 Jan 2018.
Sabitan dan hukuman mati itu kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025.
Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Mohammad Abdullah berkata sabitan di bawah Seksyen 302 adalah tidak selamat berikutan mahkamah terdahulu menerima pakai keterangan saksi pendakwaan ke-18 (SP18) iaitu abang si mati untuk mensabitkan perayu tanpa ujian kompetensi dijalankan dalam menentukan tahap kompetensi saksi itu.
Beliau berkata kecerdikan atau keupayaan intelektual dalam memberikan jawapan munasabah dan rasional adalah tidak mencukupi bagi mahkamah untuk menerima masuk keterangan saksi itu secara bersumpah.
"Dalam kes ini, anak guam telah membawa anaknya itu (mangsa) ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Saya juga memohon agar anak guam diberikan peluang kedua," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata SP18 yang berusia 15 tahun semasa memberi keterangan faham soalan ditanyakan semasa perbicaraan.
Menurut Wan Shaharuddin, SP18 dalam keterangan memberitahu beliau dan si mati dihukum oleh bapa mereka kerana tidak solat dan tertuduh menyuruh mereka membuat pumping dan sit up sebanyak 500 kali.
"Apabila si mati tidak larat berbuat demikian, si mati diterajang dan dipijak perut oleh tertuduh hingga menyebabkan pankreasnya terbelah. Tulang rusuk si mati juga patah dan ada kesan cekikan pada leher dan hentakan di kepala.
"Penderaan telah berlaku dalam kes ini dan terdapat 23 kecederaan luka luaran pada jasad si mati… perayu tidak layak diberikan peluang kedua dan orang ramai mahukan hukuman mati diberikan dalam keadaan kes ini," katanya yang memaklumkan perayu tidak pernah menunjukkan penyesalan.
Ditemui pemberita selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata pihaknya menerima keputusan mahkamah.
"Saya bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman itu, dia (tertuduh) perlu memikirkan apa telah dia lakukan terhadap anaknya. Itu lebih teruk daripada hukuman mati," katanya.
-- BERNAMA