BUTTERWORTH: Polis mengesahkan bahawa bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di kawasan Bagan Ajam pagi tadi disebabkan oleh latihan ketenteraan yang dijalankan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai bunyi letupan dan gegaran itu pada pukul 11.46 pagi sebelum membuat semakan dengan TUDM Butterworth.

"Pihak TUDM memaklumkan bahawa mereka menjalankan latihan 'force down' yang melibatkan pesawat SU-30 MKM, F/A-18D Hornet, dan C130H.

"Latihan itu merangkumi latihan 'air to ground', iaitu simulasi pengeboman ke kawasan musuh dan ia dijalankan di dalam kawasan TUDM Butterworth," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga menimbulkan kegusaran awam.

-- BERNAMA