Ringkasan AI
- Butiran lanjut mengenai inisiatif pendidikan tinggi percuma di Sarawak akan dikeluarkan pada November ini.
- Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan tenaga kerja dalam bidang STEM, undang-undang, dan perakaunan.
- Kira-kira 25,000 pelajar Sarawak dijangka mendapat manfaat daripada dasar ini menjelang 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata butiran itu merangkumi senarai kursus dan maklumat mengenai cara untuk memohon.
"Buat masa ini, biar pelajar memberi tumpuan kepada pelajaran mereka lebih dahulu. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selesai, universiti juga akan membuka permohonan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran program Pemangkin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) - Raspberry Pi 2025 di sini hari ini.
Pada 23 Feb lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun dilaporkan berkata rakyat Sarawak yang menerima pembiayaan pendidikan tinggi percuam daripada kerajaan negeri tidak perlu berkhidmat di negeri ini selepas tamat pengajian.
Abang Johari berkata penerima digalakkan untuk menimba pengalaman di luar negeri sebelum akhirnya kembali untuk menyumbang kepada Sarawak.
Beliau menjelaskan inisiatif itu bukanlah biasiswa yang mempunyai obligasi perkhidmatan tetapi bertujuan mengukuhkan tenaga kerja terutama dalam bidang STEM, selain undang-undang dan perakaunan.
Kira-kira 25,000 pelajar Sarawak dijangka mendapat manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma itu.
-- BERNAMA
