Ringkasan AI
- Hanya sekitar 36% populasi Syria terhubung dengan internet, dengan kelajuan yang sangat rendah dan sering terganggu, terutama di kawasan luar bandar yang terjejas akibat konflik.
- Wartawan menghadapi kesukaran melaporkan berita secara langsung kerana kelajuan internet yang perlahan dan tiada sokongan perantauan antarabangsa dari rangkaian Malaysia.
- Syria sedang berusaha membina semula negaranya, termasuk infrastruktur digital, dan pengalaman ini mengingatkan kita tentang nilai kemanusiaan dan semangat untuk bangkit semula dalam keadaan serba kekurangan.
Namun, pengalaman untuk melaporkan suasana pascaperang langsung dari Syria telah membuka mata saya tentang erti kehidupan tanpa akses mudah kepada internet.
Selepas 46 hari pembebasan daripada rejim yang memerintah sejak sekian lama, Syria kini berusaha membina semula negaranya.
Cabaran utama di sini bukan sekadar membangunkan semula infrastruktur fizikal seperti jalan raya dan hospital, tetapi juga infrastruktur digital.
Hanya sekitar 36% daripada populasi Syria terhubung dengan internet, dan angka ini jauh lebih rendah di kawasan luar bandar yang terjejas teruk akibat konflik sejak 2011.
Ketika berada di Damsyik, sebagai wartawan, saya benar-benar merasai kesukaran ini. Tiada rangkaian dari Malaysia yang menyokong perantauan antarabangsa (international roaming) di Syria.
Ini bermakna satu-satunya pilihan saya adalah menggunakan rangkaian internet Syrian Telecom – perkhidmatan yang perlahan dan sering terganggu (high intermittence).
Hotel tempat saya menginap menyediakan akses wifi percuma, tetapi kelajuannya amat mengecewakan – hanya 1.4 Mbps untuk muat turun dan 0.30 Mbps untuk muat naik.
Untuk memuat naik video atau melaporkan berita secara langsung adalah hampir mustahil.
Laporan oleh Speedtest Network menunjukkan kelajuan median bagi internet sambungan kabel di Syria hanyalah 4.05 Mbps, yang merupakan antara terendah di dunia, bahkan terendah dalam kalangan negara di Asia Barat.
Hidup tanpa internet yang stabil seperti ini membuatkan diri terasa seperti terputus hubungan, bukan sahaja dengan Malaysia tetapi juga dunia luar.
Sebagai individu yang terbiasa dengan kelajuan tinggi dan akses tidak terbatas, realiti di Syria memberikan perspektif baharu tentang kehidupan yang sangat bergantung kepada teknologi digital.
Namun, mungkin ini adalah peluang terbaik untuk mendalami realiti kehidupan pascaperang.
Di sini, orang ramai tidak hanya berjuang untuk mendapatkan akses kepada internet, tetapi juga bekalan elektrik, makanan, air bersih, dan tempat tinggal yang selesa.
Kekurangan infrastruktur digital hanyalah sebahagian kecil daripada cabaran besar yang mereka hadapi.
Syria yang sedang membina semula ini mengingatkan kita bahawa walaupun teknologi penting, manusia tetap menjadi nadi utama untuk pemulihan sesebuah negara.
Pastinya pengalaman ini membawa kepada pengajaran besar tentang nilai kemanusiaan yang tinggi meliputi hal berani, tabah serta semangat untuk bangkit semula biarpun dalam keadaan serba kekurangan.
Hilal Azmi kini berada di Syria bersama pasukan dari Global Peace Mission Malaysia untuk Misi Musim Sejuk.
Jika anda mahu sama membantu rakyat Syria, layari https://jomsedekah.com/donations/winteremergency2024/