Skip to main content

Malaysia

Cadangan insentif perkahwinan RM500 belia Perak diperhalus terlebih dahulu - Exco

61508926718_KahwinMuda.jpg
Cadangan Insentif Praperkahwinan Kali Pertama Anak Muda Negeri Perak sebanyak RM500 akan dikemukakan kepada Exco berkaitan untuk dibincangkan dan diperhalus terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan di bawah belanjawan negeri 2027. - Gambar hiasan
Advertisement

IPOH: Cadangan Insentif Praperkahwinan Kali Pertama Anak Muda Negeri Perak sebanyak RM500 akan dikemukakan kepada Exco berkaitan untuk dibincangkan dan diperhalus terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan di bawah belanjawan negeri 2027. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, usul berhubung insentif khas itu telah diluluskan secara sebulat suara dalam persidangan Dewan Belia Perak sesi kelima baru-baru ini sebagai langkah prihatin kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan belia.  

"Usul ini ialah satu insentif yang kita rasa amat baik untuk memperlihatkan keprihatinan dan juga kecaknaan kerajaan negeri dalam memberikan sedikit insentif kepada pasangan yang baru berkahwin," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak 2026, di sini, malam tadi.  

Khairudin berkata, cadangan bantuan berkenaan menyasarkan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun berpandukan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668], dengan kriteria kelayakan khusus antaranya anak kelahiran Perak atau telah bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di negeri ini.  

Beliau berkata, perincian serta kelulusan cadangan insentif itu tertakluk pada pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum pengumuman rasmi dibuat menjelang pembentangan belanjawan negeri pada November ini.

Sementara itu, Khairudin berkata, Anugerah Perdana Belia Negara mempertandingkan tiga kategori, iaitu individu lelaki, individu wanita dan pertubuhan belia, manakala Anugerah Khas Belia Negeri Perak menyediakan tujuh kategori anugerah yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.  

"Saya mengharapkan anugerah malam ini akan menjadi motivasi dan galakan kepada orang muda, khususnya belia Perak untuk terus menceburi pertubuhan belia bagi mendapat nilai kepimpinan, kemahiran, kesukarelawanan dan juga integriti," katanya.  

Beliau berkata, kesemua penerima anugerah telah dinilai secara menyeluruh oleh panel penilai bebas yang terdiri daripada pakar pembangunan belia serta bekas pimpinan belia negeri.  

Kesemua pemenang Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak membawa pulang hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM10,000 mengikut kategori masing-masing berserta piala dan sijil.

Bagi Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Perak 2026 kategori individu lelaki, Muhammad Amizan Lokman, 28, mewakili daerah Hulu Perak diumumkan sebagai johan, kategori individu wanita dimenangi oleh M. Ashhwina, 20, dari Larut Matang, manakala Majlis Belia Daerah Larut Matang menguasai kategori pertubuhan belia.

Para pemenang bagi Anugerah Khas Belia Negeri Perak 2026 pula membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala dan sijil dengan tujuh kategori yang dipertandingkan, iaitu karisma, wirausahawan, daya maju, relawan muda, penggiat sukan, kelainan upaya serta persatuan beruniform.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement