Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah 17 tingkat di pusat bandar, tetapi aspek keselamatan dan kesesuaian perlu diteliti.
- Sekolah bertingkat pernah dibina di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, dengan yang tertinggi adalah 10 tingkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa, Kuala Lumpur.
- KPM telah menangani isu kepadatan murid dengan membina bangunan kabin, yang terbukti berkesan di sekolah di Cyberjaya, serta komitmen untuk membina sekolah baharu dan menambah bangunan di sekolah sedia ada.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata sekolah bertingkat pernah dilaksanakan di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, paling tinggi dibina adalah 10 tingkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa di Kuala Lumpur.
"Kita ada bina sekolah secara bertingkat, paling tinggi 10 tingkat, tiada masalah kerana kita memahami isu berkait rapat peringkat Wilayah, ia bukan perkara baharu dan pernah dilaksanakan.
"...(mengenai sekolah 17 tingkat) perkara itu kita akan tengok dari semasa ke semasa, berapa tingkat yang sesuai dan selamat untuk anak-anak," katanya selepas hadir ke Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi MADANI Kementerian Pendidikan 2025 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah KPM Azman Adnan.
Media semalam melaporkan DBKL bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak, menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilapor berkata syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Sementara itu, bagi mengatasi isu kepadatan murid Fadhlina berkata KPM telah menangani dengan beberapa kaedah antaranya pembinaan bangunan kabin yang keberhasilannya terbukti apabila dapat menyelesaikan isu tersebut di sekolah di Cyberjaya.
"Ini kita telah tangani, pagi tadi saya berkunjung ke sekolah di Cyberjaya yang ada model khusus pembinaan bilik darjah kabin...ia memberikan kesan kondusif untuk suasana pembelajaran," katanya.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata komitmen KPM adalah jelas iaitu dengan membina sekolah baharu, menyiapkan pembinaan sekolah sedia ada dan menambah bangunan bagi sekolah yang mempunyai ruang.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM turut mengambil maklum masalah tandas di sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian serius oleh setiap sekolah.
"Setiap sekolah ada penyelenggaraan, perlu pastikan pembaikan tandas dan semua aspek di sekolah digunakan menerusi peruntukan penyelenggaraan diberikan. Kita ambil perhatian perkara tersebut," katanya.
Berkaitan waktu pengoperasian sekolah semasa bulan Ramadan pula, Fadhlina meminta semua pihak berhenti memainkan isu itu dan mengikuti ketetapan yang disediakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM.
"Saya rasa perkara itu sudah jelas, saya jawab dalam konteks ketika ditanya berkaitan pengoperasian sekolah semasa Ramadan, saya sebut macam biasa ikut SPI.
"Maksudnya apabila dirujuk pada SPI itu adala perkara ditegaskan seperti dinyatakan pada 2022, sekolah sesi pagi balik seperti biasa, sekolah sesi petang balik pukul 5 petang atau 5.30 petang itu maksudnya," katanya.
-- BERNAMA
