SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dan isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan membuka klinik perubatan tanpa didaftarkan.
Tertuduh, Dr Azizul Hakim Mahdi dan Noor Ameeraa Rahmat berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Kesalahan itu dilakukan pada 8 Julai jam lebih kurang 11.30 pagi di sebuah klinik beralamat Taman Bandar Senawang.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengarah syarikat secara bersama-sama telah didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Berikutan itu, tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 4(1), Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(2)(aa) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, syarikat milik mereka didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Bagi kesalahan terbabit pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 5(1) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 17 September depan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Haslina Zamani manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Abdul Fateh Mohd Rahmat. - Sinar Harian