KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) sebagai antara saluran rasmi pemakluman pemilihan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) Siri 4/2026 yang dijadualkan dari 3 Okt hingga 16 Nov ini.
Ketua Pengarah JLKN Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata SMS dipilih sebagai satu lagi pendekatan tambahan bagi memperkukuh penyampaian maklumat pemilihan pelatih secara lebih pantas, terus dan berkesan.
“SMS itu berfungsi sebagai pencetus tindakan dengan mengarahkan calon membuat semakan lanjut melalui laman sesawang ePLKN bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai arahan melapor diri, status pemilihan dan tindakan yang perlu diambil.
“Pendekatan ini mengambil kira cabaran sebelum ini apabila terdapat calon tidak menyedari status pemilihan atau terlepas pandang maklumat berkaitan tarikh dan keperluan melapor diri, menyebabkan sebahagian calon tidak hadir seperti yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marzuki berkata melalui pemakluman SMS, calon akan menerima notifikasi menerusi nombor telefon bimbit yang direkodkan dalam sistem, membolehkan JLKN menyampaikan maklumat secara serentak kepada calon yang ramai tanpa bergantung sepenuhnya kepada capaian hebahan sedia ada atau keperluan menyemak laman sesawang ePLKN secara berkala.
Selain itu, Marzuki berkata semakan terhadap bakal pelatih Siri 4/2026, khususnya bagi kelahiran 2008 boleh dibuat melalui Sistem ePLKN 3.0 https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form bermula 11 pagi esok.
Marzuki berkata bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan urusan pentadbiran, calon yang terpilih perlu membuat pengesahan kehadiran melalui Sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 18 Sept.
“JLKN turut merancang mengoperasikan lapan kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) bagi pelaksanaan PLKN 3.0 bagi Siri 4/2026 melibatkan tiga kem sedang beroperasi kini, iaitu Kem 504 Bukit Keteri, Perlis; Kem 505 Pekan, Pahang dan Kem 515 Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata lima kem baharu dijangka dibuka pada siri yang sama, iaitu Kem 503 Hutan Melintang, Perak; Kem 506 Sungai Durian, Kelantan; Kem 513 Bukit Pinang, Kedah serta dua kem melibatkan pusat latihan bertaraf Institut Latihan Awam (ILA) di Sungai Petani, Kedah dan Tuaran, Sabah sebagai kem alternatif.
Marzuki berkata penggunaan pusat ILA mencerminkan pendekatan strategik kerajaan melalui kerjasama antara agensi bagi memperkukuh pelaksanaan PLKN 3.0 yang menjadi agenda utama negara, selain memberikan peluang kepada lebih ramai belia menyertainya secara berperingkat tahun ini.
Beliau berkata JLKN menyasarkan pembangunan 13 kem PLKN secara keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PLKN 3.0, namun sebahagian daripadanya masih dalam proses pembangunan dan naik taraf secara berperingkat.
Sehubungan dengan itu, penggunaan kem alternatif mampu membantu meningkatkan kapasiti latihan serta memenuhi sasaran pengambilan pelatih pada tahun ini.
-- BERNAMA