KUALA LUMPUR: Pemilik atau pengendali akaun Facebook Cecelia Yap Song KL yang didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam baru-baru ini tampil memohon maaf.

Cecelia Yap menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co berkata, dia amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial sehingga menyinggung perasaan orang ramai.

"Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini di masa hadapan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Dengan rasa rendah diri saya ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan insiden ini,” katanya menurut laporan portal berita pada Isnin.

Terdahulu, pelawak dan juga pelakon Harith Iskander memuat naik hantaran di dalam Facebook memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.

Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.

Jenaka sindirannya disambut pula dengan komen Cecelia Yap yang dipercayai mengaitkan isu berkenaan nama Nabi Muhammad.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil dan merakam keterangan pelawak berkenaan pada Rabu lalu sekali gus mengenal pasti identiti Cecelia Yap setelah menerima 16 laporan polis di seluruh negara berhubung insiden terbabit.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan siasatan ke atas Harith dan Cecelia Yap dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.