Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Novan Amirudin, berkata program yang dirangka untuk tempoh dua tahun itu melibatkan PPR Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan diperkenalkan termasuk dalam bidang pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.
“Kami menyediakan program tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, selain kaunseling dan biasiswa kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke universiti.
“Usaha ini bertujuan memastikan pendidikan menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih baik bagi penghuni PPR,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di PPR Pinggiran Bukit Jalil pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyempurnakan majlis pelancaran, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Selain inisiatif pendidikan, CIMB turut memperkenalkan program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur untuk pekerja ekonomi gig dan MicroBizReady bagi membantu usahawan mikro meningkatkan daya saing mereka.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, program ini mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam membina masyarakat yang lebih inklusif.
“Apabila dilaksanakan dengan cara yang betul, kejayaan dapat dilihat. Ada usahawan yang bermula tanpa apa-apa, kini memiliki perniagaan dan kediaman sendiri.
“Pendekatan CIMB ini bukan sekadar memberi sumbangan sekali, tetapi membina ekosistem yang berterusan,” katanya.
Seiring dengan gerakan ‘Kita Bagi Jadi’, CIMB juga menganjurkan Hari Komuniti bersama penghuni PPR untuk mengukuhkan hubungan sesama komuniti.