Skip to main content

Malaysia

COVID-19: 43 kes baharu, 143 pulih dan satu kematian

71591698482_DatukDrNoorHisham.jpg
71591698482_DatukDrNoorHisham.jpg
Advertisement
43 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,445 kes, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala, 38 kes melibatkan penularan dalam negara.

Penularan kes dalam negara pula melibatkan 23 warga asing dan 15 kes kalangan rakyat Malaysia.

Bagi 23 kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:

  • 21 kes telah dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil yang telah dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan;
     
  • Satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur, oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah;
     
  • Satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (15 kes) pula adalah seperti berikut:

  • Satu  kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu survelan kes Influenza Like Illness (ILI) di sebuah Klinik Kesihatan sentinel
     
  • Selangor – empat kes:
    - Dua kes saringan di dua buah pusat tahfiz;
    - Dua kes saringan pasukan barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di Sabak Bernam;
     
  • Negeri Sembilan – lima kes:

    - Tiga kes saringan pusat tahfiz di tiga (3) buah pusat tahfiz;
    - Satu kes saringan penjawat awam di Seremban yang bercadang untuk pulang ke Sabah;
    - Satu  kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-7,756) di Negeri Sembilan. Kontak berlaku semasa aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama yang lalu;
     
  • Sabah – satu  kes:
    - Satu kes kematian di dalam komuniti yang dibawa ke hospital (kes kematian ke-120 seperti yang akan diperincikan di bawah);
     
  • Pahang – satu kes:
    - Satu kes saringan dalam komuniti di Temerloh;
     
  • Perak – satu  kes:
    - Satu kes saringan pusat tahfiz;
     
  • Melaka – dua kes:
    - Satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah;
    - Satu kes saringan pusat tahfiz.

Dalam pada itu, 143 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,311 kes

Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, berlaku pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 120 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

* Kes kematian ke-120 (kes ke-8403) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 96 tahun. Beliau telah meninggal dunia pada 12 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah. Saringan ujian COVID-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan.

Must Watch Video

Advertisement