Skip to main content

Malaysia

COVID-19: China dalam fasa kedua pembangunan vaksin

71588857668_Vaccine.jpg
71588857668_Vaccine.jpg
Advertisement
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat ini negara China sedang berada pada fasa kedua proses pembangunan vaksin bagi membendung jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata proses tersebut akan memakan masa sekurang-kurang satu setengah tahun bagi menentukan keberkesanan vaksin yang dihasilkan sebelum ia boleh dipasarkan.

“Jadi, bila fasa kedua laporan akan dikeluarkan bulan 11 atau 12 dan kita akan lihat kepada laporan tersebut sama ada vaksin ini berkesan atau mempunyai kesan sampingan.

“Selepas fasa kedua kita akan jalankan kajian pada manusia untuk melihat kepada keberkesanan vaksin tersebut dan kesan sampingan vaksin tersebut.

“(Proses) itu juga memakan masa dan sekurang-kurang kita rasa ia mungkin mengambil masa lebih satu setengah tahun,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Jelas Dr Noor Hisham, pembangunan dan keberkesanan vaksin akan berdepan kesukaran sekiranya terdapat banyak mutasi atau strain dikesan dalam jangkitan COVID-19.

Selain China, Dr Noor Hisham menambah negara-negara lain termasuk Itali turut giat menjalankan kajian terhadap penghasilan vaksin.

Namun, jelas beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) maklumkan tiada mana-mana negara atau pertubuhan antarabangsa yang berjaya menghasilkan vaskin, setakat ini.

“Banyak kajian bersama sedang dijalankan termasuk sebuah organisasi yang dikenali sebagai Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI).

“Kajian ini juga melibatkan pelbagai negara dan kita harapkan kita dapat temukan vaksin tersebut, dan apabila kita berjaya menemuinya, kita kena lihat kepada pemasaran, produktiviti dan sebagainya,” ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement