ALOR SETAR: Budaya culas, kurang rasa tanggungjawab dan akauntabiliti dalam pengurusan projek kerajaan antara yang menyebabkan kerugian wang pembayar cukai terus berulang.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan walaupun negara sudah hampir 70 tahun merdeka, dan kerajaan berganti, kelemahan sama masih berlaku sehingga menyebabkan projek yang dibiayai wang pembayar cukai berdepan pelbagai masalah.
Beliau berkata kritikan yang dibangkitkan berhubung projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai usaha memastikan kelemahan dalam pengurusan projek kerajaan diperbaiki.
"Saya tahu ada yang tak gembira dengan saya bila kongsikan apa yang berlaku dengan projek LRA di Kedah. Ada yang panggil saya “ceplos” kerana saya sentuh kelemahan pengurusan projek untuk rakyat menggunakan wang pembayar cukai.
"Ada juga yang kata, ini bukan kerja saya, kerja menteri jaga dasar sajalah. Tetapi saya mohon maaf sebab kita tak boleh lagi buat kerja secara business as usual," katanya dalam laman X.
Akmal Nasrullah berkata isu itu bukan sekadar membabitkan soal dasar kerana dasar kerajaan sentiasa berubah mengikut keperluan, sebaliknya ia berkaitan sikap dan mentaliti yang perlu diperbetulkan.
Beliau berkata projek LRA di Kedah telah diikuti dan dipantaunya sejak sekian lama merentasi penyelarasan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kepada Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata beberapa teguran telah dibuat, namun beliau tidak melihat usaha penambahbaikan yang sewajarnya sehingga akhirnya masalah yang dibimbangi benar-benar berlaku.
"Saya sudah buat apa yang termampu, tetapi amaran saya tidak diendahkan sehinggalah nasi menjadi bubur," katanya.
-- BERNAMA