KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup daging dan makanan sejuk beku termasuk daging katak dipercayai untuk tujuan pengedaran semasa Tahun Baharu Cina bernilai lebih RM1.4 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan itu susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap empat kontena sejuk beku di Pelabuhan Barat serta Pelabuhan Utara pada 9 dan 12 Dis lepas.

Beliau berkata dagangan berkenaan telah diikrar secara tidak benar sebagai ladu sejuk beku dan pankek untuk mengelak daripada dikesan kastam.

"Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis daging sejuk beku antaranya dada ayam, daging kambing, itik, dan katak serta makanan sejuk beku seperti ladu udang serta jagung, kuih (pau) dan lain-lain.

"Kesemua dagangan seberat 77,059 kilogram (kg) yang kami percaya dibawa masuk dari sebuah negara Asia ini juga disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pengimportan daging dan makanan sejuk beku tertakluk kepada Permit Import dikeluarkan MAQIS di bawah Butiran 1, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata JKDM Selangor menerusi Ops Tengu 2024 berjaya merampas tiga kereta, 54 motosikal dan 25 motosikal mini import berjumlah RM1.1 juta di sebuah premis di Batu Caves pada 19 Nov lepas.

Beliau berkata barangan itu dikesan selepas serbuan ke atas tiga premis menyimpan kenderaan dan motosikal import terpakai serta alat ganti kenderaan yang diseludup ke dalam negara dengan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan.

"Kami turut menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan elektrik, tembakau mentah dan tembakau kunyah dengan masing-masing bernilai RM888,780 dan RM1.6 juta dalam serbuan berasingan pada Oktober hingga Disember.

"Kedua-dua kes berkenaan berjaya dibongkar susulan pemeriksaan dilakukan ke atas enam kontena di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat," katanya.

Norlela berkata kes seludup daging dan makanan sejuk beku, barangan elektrik, tembakau mentah serta tembakau kunyah disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, manakala kes Ops Tengu di bawah Seksyen 135(1)(d) akta sama.

-- BERNAMA