MELAKA: Bekas pesakit skizofrenia Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lio bertekad untuk tidak mensia-siakan kepercayaan dan harapan keluarga, rakan-rakan serta penduduk Duyong di sini yang ingin melihatnya terus sihat serta berdikari seperti manusia normal lain.

Nor Kamariah, 41, atau lebih dikenali sebagai 'Dak Nor' dalam kalangan penduduk Duyong dan Melaka menanam tekad itu selepas menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur semalam.

"Dengan menerima anugerah ini, semua orang dah pandang Nor sebagai wanita cekal. Jadi, Nor kena buktikan bahawa pesakit mental pun boleh berubah, boleh jadi baik kalau ada sokongan serta dukungan daripada orang sekitar.

"Dalam proses nak sihat semula, ramai orang sekeliling bantu Nor terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem kerana beliau antara orang yang banyak beri semangat dan bantuan untuk bangkit ketika hidup Nor dalam kegelapan dan tanpa arah tujuan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang menghidap sakit mental sejak 2008 berkata anugerah yang diterima itu juga akan menjadi pembakar semangat untuk terus cekal menghadapi pelbagai ujian, sekali gus berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

Nor Kamariah yang mempunyai 69,600 pengikut di platform TikTok berkata bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau mendapat komisen dengan membantu rakan-rakan menjual produk seperti biskut, sambal dan kambing perap selain turut membuat konten berupa ulasan pelbagai produk seperti kedai makan dan motosikal.

Beliau tidak meletakkan harga untuk memperkenal atau mengulas produk yang dijual, namun pernah mendapat upah serendah RM20, dan pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu peniaga lain.

"Kalau rezeki Nor mewah, Nor nak bantu ramai orang terutama adik-beradik dan orang susah lain di luar sana... Sekarang ini pun, Nor sedang baiki ekonomi Nor dahulu.

"Bulan puasa Nor bantu kawan jual kuih dan biskut di Bazar Aidilfitri Banda Hilir, selain jual di platform TikTok... Terima kasih pada pembeli produk yang Nor jual," kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Nor ketika mengulas detik bersejarah dalam hidupnya bertemu Anwar berkata beliau teruja dan gembira kerana menyifatkan dirinya antara individu bertuah dapat bertentang mata dengan pemimpin nombor satu negara itu dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Media melaporkan, Nor Kamariah antara empat individu menerima Anugerah Kasih Wanita berdasarkan sumbangan dan jasa mereka kepada masyarakat sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025.

Anugerah itu diberikan selepas beliau berjaya bangkit daripada cabaran kesihatan mental dan kini aktif menggunakan media sosial untuk membantu masyarakat, termasuk mengumpulkan dana bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan.

-- BERNAMA