Skip to main content

Malaysia

Dakwaan rompakan kedai emas di Genting Highlands tular

Rompak,Genting Threads Nalliesya Leia Ixzora
Salah satu video yang dikongsikan menunjukkan tiga individu bertopi dan bertopeng hitam berlari sambil membawa beg berwarna biru yang didakwa mengandungi barang hasil rompakan. - Gambar/ Threads @j00raaaa
Advertisement

KUALA LUMPUR: Situasi di Genting Highlands menjadi perhatian pengguna media sosial hari ini susulan dakwaan berlaku rompakan membabitkan sebuah kedai emas di kawasan peranginan itu.

Beberapa video dan hantaran yang tular di platform Threads memaparkan keadaan di sebuah pusat beli-belah, selain dakwaan mengenai peningkatan kawalan keselamatan serta kesesakan lalu lintas di laluan keluar dari Genting Highlands.

Salah satu video yang dikongsikan menunjukkan tiga individu bertopi dan bertopeng hitam berlari sambil membawa beg berwarna biru yang didakwa mengandungi barang hasil rompakan. Bagaimanapun, rakaman itu tidak memaparkan kejadian rompakan secara langsung.

BACA: Polis sahkan kejadian rompakan di pusat beli-belah Genting Highlands

Pengguna Threads, @j00raaaa, antara yang menarik perhatian selepas memuat naik video memaparkan keadaan di kawasan berkenaan dan mendakwa sebuah kedai emas menjadi sasaran rompakan.

Dalam video berdurasi pendek yang dikongsikan, kelihatan dua individu berpakaian hitam dipercayai membawa sebuah beg besar berwarna gelap, namun tiada pengesahan mengenai kandungan beg tersebut.

Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi dan pertanyaan daripada pengguna lain yang ingin mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi di Genting Highlands.

Menjawab pertanyaan pengguna lain, pemilik akaun berkenaan mendakwa pengunjung tidak dibenarkan meninggalkan kawasan peranginan itu buat sementara waktu dan terdapat sekatan perjalanan yang sedang dilaksanakan.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @shaqiera_abhamid, mendakwa berdepan kesesakan lalu lintas ketika keluar dari Genting Highlands selepas mendaftar keluar dari penginapannya sekitar tengah hari.

Menurutnya, pergerakan kenderaan amat perlahan dan keadaan itu berlarutan sehingga lebih sejam, dengan dakwaan terdapat kawalan polis berhampiran rumah kawalan di laluan keluar kawasan berkenaan.

Dakwaan mengenai pemeriksaan kenderaan turut dikongsikan seorang lagi pengguna, @faridaspar, yang mendakwa melihat sekatan jalan raya dilakukan, termasuk pemeriksaan pada bahagian bonet kenderaan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

Dalam pada itu, pengguna Threads, @fennylow_, mendakwa menerima maklumat mengenai satu kejadian rompakan di Genting Highlands dan berkata beliau turut terperangkap dalam kesesakan trafik kira-kira 30 minit ketika keluar dari kawasan peranginan tersebut.

Perkongsian beberapa pengguna media sosial itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai punca sebenar kawalan keselamatan dan kesesakan yang berlaku.

BACA: Polis sahkan kejadian rompakan di pusat beli-belah Genting Highlands

 

Must Watch Video

Advertisement