PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI meneruskan komitmen memperkasa industri media tanah air melalui pelancaran Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan bernilai RM30 juta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana kesinambungan itu kini dibuka untuk permohonan bermula hari ini bagi membolehkan syarikat media memacu agenda pendigitalan serta penerapan teknologi terkini.
Jelas beliau, fasa kedua dana berkenaan mengekalkan empat skop asal dengan penambahan satu skop baharu yang memberi tumpuan khusus terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan industri media terus diperkasa khususnya dalam aspek inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat, dan penerapan teknologi baharu termasuk AI agar kekal berdaya tahan dan relevan.
"Dana Inovasi Media 2.0 masih mengekalkan empat skop sedia ada dengan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta," katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini, pada Jumaat.
Terdahulu melalui fasa pertama yang diumumkan pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA), sebanyak 72 syarikat media telah menerima manfaat pembiayaan RM30 juta bagi latihan warga kerja, penstrukturan operasi, serta penerokaan model baharu penghasilan kandungan.
Agensi media yang berminat boleh menyemak syarat kelayakan serta memuat turun borang permohonan menerusi portal rasmi danainovasimedia.komunikasi.gov.my.