PUTRAJAYA: Dasar tidak popular perlu dilaksanakan demi manfaat jangka panjang negara dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau mengambil contoh beberapa dasar seperti program penyasaran subsidi elektrik sejak 2023, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois secara berfasa yang menurutnya memberi manfaat kepada pengurusan ekonomi dan fiskal negara.
“Program penyasaran subsidi elektrik yang bermula sejak 2023 dan ditambah baik secara berfasa terbukti tidak menjejaskan majoriti rakyat. Malah, 85 peratus pengguna domestik kekal dilindungi dan langkah ini menyokong kemampanan sektor tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 bertempat di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Menyentuh soal skop SST, Amir Hamzah berpandangan ia telah memperlihatkan impak positif terhadap konsolidasi hasil negara tanpa mengganggu kuasa beli pasaran domestik dengan pendekatan yang progresif dan berasaskan prinsip keadilan sosial.
Pada masa sama, beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa bukan bertujuan untuk membebankan rakyat.
“Langkah ini tidak bertujuan membebankan, sebaliknya berfungsi mengecilkan saiz shadow economy,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada DAP pada Ahad menggesa kerajaan mempertimbangkan supaya nilai ambang pelaksanaan e-Invois dinaikkan bagi mengurangkan beban terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara permintaan akar umbi parti yang dibangkitkan pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.